MENGAPA kita melakukan amal ibadat dan kebaikan?
Mahukah jika kita berpenat lelah beramal di dunia kemudian apabila pulang ke akhirat, semua itu hanya sia-sia, tidak mendapat apa-apa ganjaran?
Ikhlas! Topik ini mungkin biasa-biasa sahaja kerana sudah biasa kita mendengarnya. Ramai orang menyebutnya. Kadang-kadang perkara biasa-biasa inilah yang dipandang remeh, sedangkan ia adalah paksi penting yang perlu dibiasakan.
Solat beribu rakaat, puasa sunat setiap minggu, sedekah berjuta-juta ringgit, baca al-Quran berjuzuk-juzuk, pergi umrah setiap tahun dan buatlah apa-apa amal ibadat sebanyak mana pun, namun jika tidak ada keikhlasan semua itu hanya sia-sia. Apatah lagi jika keikhlasan tersebut diganti oleh perasaan riyak, ingin menunjuk-nunjuk.
Cabaran keikhlasan
Dalam dunia yang penuh cabaran keimanan pada hari ini, mendidik jiwa yang ikhlas adalah satu pertarungan sengit. Bertarung dengan perasaan sendiri. Ada masa kita menang, ada masa kita tertewas.
Tewas dengan kemewahan dunia, wang ringgit yang mahu dikumpulkan, pujian manusia yang ditagih, pujukan wanita yang mencairkan, pangkat dan darjat untuk mencari kemuliaan.
Kadang-kadang kita berebut untuk mendapat nikmat keduniaan dengan segera sehingga kita tidak sedar niat tersebut boleh memadamkan cahaya keikhlasan sekali gus menafikan nikmat di akhirat. Dalam hal ini, ALLAH SWT mengingatkan kita: "Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahanam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir daripada rahmat ALLAH.
"Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya". (Surah Al-Isra’: 18-19)
Balasan ikut niat
Semasa kita beramal ibadat dan melakukan kebaikan, mulut kita boleh menuturkan ungkapan keikhlasan. Tangan boleh mencatat yang kita ikhlas melakukan semua ini. Namun, niat sebenar ialah apa yang berada dalam jantung hati kita. Hanya ALLAH dan kita sendiri yang mengetahui hakikatnya.
Kita akan dibalas mengikut niat yang terlintas dalam jantung hati. Sebab itu, dalam hadis yang sering kita dengar Rasulullah SAW berpesan: "Sesungguhnya setiap amal mempunyai niat dan seseorang akan dibalas mengikut apa yang diniatkannya". (Riwayat Bukhari)
Bagi sentiasa kekal ikhlas dalam semua amalan kita, ia sangat sukar. Setiap orang tidak terlepas daripada ujian ini sama ada orang awam mahu pun ulama. Sebab itu antara doa yang sering dipohon oleh Rasulullah SAW ialah: "Wahai Tuhan yang membolak balikkan jantung hati, tetapkanlah jantung hatiku ini atas agamaMu”. (Riwayat Tirmizi & Ibn Majah)
Kata Sufyan al-Thauri: "Tidak ada yang paling sukar dalam merawati diriku melainkan niat, sebab niat boleh berubah sehingga menjadi dosa ke atasku".
Yahya bin Abi Kathir berkata: "Belajarlah untuk niat (kerana ALLAH) sesungguhnya ia lebih penting daripada amal". (Ibn Rejab, Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, al-Maktabah al-Asriah, m/s 14)
Syaitan (dengan izin ALLAH) tidak akan berputus asa untuk menipu manusia. Keikhlasan yang terdetik di peringkat awal, boleh sahaja bertukar di pertengahan jalan akibat hasutan dan kelicikan syaitan. Justeru, sentiasalah memohon perlindungan daripada ALLAH agar dipelihara niat kita.
ALLAH berfirman: "Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui". (Surah Al-A’raf: 200)
Riak musnahkan amal
Riak adalah penyakit jiwa dan amat bahaya. Riak boleh membatalkan amal kebaikan. Firman ALLAH: "Wahai orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada ALLAH dan hari akhirat". (Surah Al-Baqarah: 264)
Niat untuk masuk syurga
Keikhlasan sentiasa bertarung dengan perasaan riak. Riak boleh menyebabkan seseorang yang beramal tetapi akhirnya dimasukkan ke neraka. Dalam hadis Riwayat Imam Muslim, Rasulullah menyebut ada tiga golongan yang melakukan amal ibadat, namun mereka dihumban ke dalam neraka kerana riak.
Pertama, seorang dikatakan mati syahid. Kedua, seorang yang belajar dan mengajar al-Quran. Ketiga, seorang yang bersedekah dengan hartanya.
Hal ini menakutkan kita. Sentiasalah memohon agar kita terpelihara daripada perasaan riak dalam melakukan amal kebaikan. Bolehkah kita beramal dengan niat untuk masuk syurga? Sebahagian ajaran kesufian dan tarekat mengajar pengikutnya tidak boleh niat untuk mendapatkan syurga.
Sebaliknya kita beramal dengan niat untuk mendapat reda dan kasih sayang ALLAH. Jika niat untuk mendapatkan syurga, itu bererti niat kita belum cukup ikhlas atau ia boleh mencemarkan keikhlasan.
Sehinggakan ada yang menyebut, sekiranya kita dimasukkan ke dalam neraka dan di situ adanya rahmat, reda dan kasih sayang ALLAH, maka kita rela. Adakah ini fahaman yang benar?
Sekiranya kita menimbangkan fahaman ini dengan ajaran al-Quran dan sunnah serta sirah rasul, ternyata ia bercanggah.
Contohnya dalam ciri-ciri ‘Ibad al-Rahman ( hamba ALLAH) yang disebut dalam ayat 65 Surah al-Furqan, satu daripada cirinya mereka mendoakan: "Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahanam daripada kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan".
Nabi Ibrahim AS dalam doa Baginda memohon: "Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim”. (Surah Al-Syu’ara’: 85)
Ketika ALLAH menceritakan mengenai bayangan nikmat syurga, kemudian ALLAH sendiri yang menyuruh kita supaya berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "...Dan untuk (memperoleh nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan". (Surah Al-Mutaffifin: 26)
Sekiranya kita ingin membentangkan dalil yang menggalakkan kita mengejar ganjaran pahala dan syurga, meminta dijauhkan daripada dosa dan neraka, pasti artikel boleh dijadikan sebuah buku.
Al-Hafiz al-Munziri mengarang kitab al-Targhib wa al-Tarhib sebanyak tiga jilid. Dalamnya terkumpul dalil yang menjanjikan pelbagai ganjaran beramal dan peringatan mengenai dosa dan azab melakukan kesalahan. Justeru, ternyata apa diajarkan sebahagian aliran kesufian tersebut bercanggah dengan apa diajar ALLAH dan Rasul-Nya.
Semoga pesanan ini menjadi kebiasaan kepada kita. Ikhlas dalam setiap amalan. Lakukan kerana ALLAH.Yakinlah. Jiwa ini perlu sentiasa dididik dengan keikhlasan kerana di situlah pintu penentu segala ganjaran kebaikan. Keikhlasan membuahkan ketenangan dan kebahagiaan. Bukan inikah manusia mahukan?
* Penulis mantan pensyarah Fakulti Sains Sosial, Kolej Islam Antarabangsa. Berkelulusan sarjana dan ijazah dalam bidang Ilmu Wahyu UIAM
-sinarharian-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan