PETALING JAYA: Anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan dakwaan kononnya gambar yang sedang menjadi viral mengenai kubur ayahandanya yang dibina pagar bertutup sengaja dipasang ahli keluarga.
Menurut Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, pagar tersebut telah dibina oleh penduduk kampung dan bekas murid Allahyarham Nik Aziz tanpa pengetahuan keluarga beliau.
“Saya mohon menjelaskan bahawa binaan itu telah dibina oleh individu penduduk kampung dan murid ayahanda tanpa pengetahuan pihak kami sekeluarga.
“Tujuannya baik, iaitu untuk mengelak perbuatan bidaah yang jahil bertentangan ajaran Islam, seperti mengambil tanah untuk tujuan ‘berkat’ yang hakikatnya adalah ‘sesat,” kata Nik Abduh menerusi posting Facebooknya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menjelaskan, walaupun tujuannya adalah baik, namun pihaknya tidak bersetuju dengan binaan tersebut malah telah membuat keputusan untuk memindahkan pagar pada kadar segera.
“Kami sepakat bahawa ia diletakkan dengan status ‘sementara’ atas maslahat di atas. Ia akan dipindahkan dalam tempoh terdekat insya Allah,” katanya.
Sehubungan itu, pihak keluarga akan mengekalkan kubur Allahyarham dengan binaan batu nisan tanpa ada sebarang binaan lain di sekitar kawasan makam tersebut.
Walaupun sudah sebulan lebih Allahyarham Nik Aziz meninggal dunia, sehingga kini pusara beliau masih diziarahi seluruh rakyat Malaysia.
Bekas Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS itu meninggal dunia pada 12 Januari lalu kira-kira jam 9.40 malam di sisi anggota keluarga di kediamannya di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu Kelantan. Beliau berumur 84 tahun.
-fmt-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan