"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terjaga dengan buah pinggang sudah hilang

AFP

Islamabad: Polis Pakistan menumpaskan kumpulan terbabit dalam sindiket pemerdagangan organ manusia.

Ia susulan penemuan remaja lelaki berusia 14 tahun yang sebelum ini hilang di makmal bawah tanah selepas buah pinggangnya dikeluarkan.

Sindiket itu memperdaya mangsa muda dengan menjanjikan pekerjaan bergaji lumayan, sebelum mengeluarkan organ mereka terutamanya buah pinggang untuk dijual pada harga sehingga 900,000 rupee (kira-kira RM4,800).

"Hanya selepas mendapat bukti dan petunjuk barulah kami tahu adanya kegiatan pemerdagangan organ di sebalik kehilangan remaja itu," kata Rehan Anjum, jurucakap polis Punjab, kepada AFP baru-baru ini.

Berikutan itu, enam individu disyaki dalam aktiviti terbabit ditahan pihak berkuasa.

"Remaja lelaki itu memberitahu kami apabila dia bangun terdapat seorang lelaki Arab di atas pengusung di sebelahnya, jadi kami fikir kebanyakan pelanggan adalah warga asing," kata Anjum.

Mangsa kumpulan itu dibawa ke makmal ujian perubatan yang digunakan untuk pembedahan pemindahan organ secara rahsia di bandar garrison Rawalpindi, berhampiran ibu negara.

Kemudahan untuk pembedahan sulit seperti itu di Pakistan sering dilakukan dalam keadaan kekurangan peralatan dan piawaian perubatan yang sesuai. Ada pesakit diketahui meninggal dunia akibat komplikasi prosedur itu.

"Saya hanya bersyukur kerana polis menemuinya dalam keadaan hidup, jika tidak mereka membiarkannya mati," kata bapa remaja yang hilang itu kepada AFP di Lahore.

Polis berkata, doktor dan pakar bedah yang terbabit dalam aktiviti berkenaan tidak dapat dikesan.

Pakistan mengharamkan perdagangan komersial organ manusia pada 2010, dan mengenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda dengan harapan dapat mengekang penjualan organ kepada pelanggan luar negara yang kaya oleh orang tengah melalui cara eksploitasi.

Tiada ulasan: