"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 lelaki termasuk dua beradik didakwa rogol adik ipar rakan

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my
Tiga lelaki didakwa rogol seorang wanita secara bergilir-gilir di sebuah rumah dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk pendakwaan. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Tiga lelaki didakwa rogol seorang wanita secara bergilir-gilir di sebuah rumah dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk pendakwaan. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Kuala Lumpur: Tiga lelaki termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini atas tuduhan merogol wanita yang juga adik ipar rakan mereka secara bergilir-gilir di sebuah rumah, bulan lalu.

Bagaimanapun, Nik Mohammad Rahimin Mat Zaid, 33, dan adiknya Nik Khaira Hafizi Mat Zaid, 28, serta rakan mereka, Mohd Zulhilmi Zainuddin, 33, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin.

Mengikut pertuduhan, Nik Mohammad Rahimin yang juga mekanik dan dua lagi tertuduh yang bekerja di kedai makan didakwa bersama-sama dengan sengaja melakukan kesalahan merogol ke atas seorang wanita berusia 26 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kediaman di Wangsa Maju antara 2 pagi dan 3.30 pagi, 30 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun serta sebatan dan dibaca bersama-sama seksyen 34 kanun yang sama.

Susulan pengakuan tidak bersalah berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub tidak menawarkan dan membantah sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh.

"Pendakwaan tidak membenarkan jaminan kerana ia adalah kes serius membabitkan rogol berkumpulan oleh tiga tertuduh.

"Kalau diberi jaminan, tertuduh kemungkinan tidak hadir ke mahkamah. Mengikut siasatan polis, ketiga-tiga tertuduh adalah rakan kepada abang ipar mangsa," katanya.

Namun, semua tertuduh terbabit yang tidak diwakili peguam merayu supaya diberikan jaminan masing-masing atas alasan perlu menanggung isteri serta anak berusia antara enam bulan hingga 12 tahun.

Norina kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 12 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.

Pada Jumaat lalu, seorang bapa empat anak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana bersubahat dengan membenarkan sekumpulan rakan merogol adik iparnya.

Bagaimanapun, penganggur berusia 29 tahun itu tidak mengaku bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim, Izralizam Sanusi.

Tiada ulasan: