"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemandu lori ditahan disyaki bunuh rakan

 Nurul Hidayah Bahaudin

nurul.hidayah@hmetro.com.my

LELAKI lori ditemui tidak sedarkan diri dalam lori di kawasan Jalan UPM, Dato Abu Bakar Baginda. FOTO Ihsan Polis

LELAKI lori ditemui tidak sedarkan diri dalam lori di kawasan Jalan UPM, Dato Abu Bakar Baginda. FOTO Ihsan Polis

Sepang: Seorang pemandu lori ditahan selepas disyaki terbabit dengan kematian rakannya yang ditemui tidak sedarkan diri di dalam lori di kawasan Jalan UPM, Dato Abu Bakar Baginda, dekat sini, pada 4 September lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada anggota ronda Unit Kereta Peronda Polis (MPV) jam 1.41 pagi.

"Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun yang juga penumpang lori berkenaan tidak sedarkan diri.

"Anggota ronda MPV terbabit mengiringi lori berkenaan ke Hospital Serdang bagi membolehkan mangsa menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia oleh doktor," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Kamarul berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya disebabkan kecederaan trauma akibat objek tumpul di kepala.

"Susulan itu, kami menahan pemandu lori berusia 31 tahun yang juga rakan mangsa.

"Malah, siasatan lanjut juga mendapati mangsa dan suspek turut tinggal di kawasan taman perumahan yang sama," katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama 12 hari sehingga 15 September ini untuk siasatan lanjut.

"Kertas siasatan kes ini sudah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor, semalam, dan mendapat arahan tuduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Sepang pada 14 September ini," katanya.

Tiada ulasan: