"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Artis tua boleh pergi…

Ronasina

Penyanyi lagu Hijau, Zainal Abidin marah apabila ada warganet mengomen dirinya tua dah nak mati masih lagi mahu menyanyi. Saya seringkali juga terbaca komen-komen sebegini terhadap beberapa penyanyi atau pelakon “otai” yang masih terus beraksi di pentas atau di layar. Komen-komen seperti “insaflah”, “jaga anak cucu lebih baik” atau “tumpukan kepada akhirat” membuatkan saya keliru apakah itu suatu bentuk nasihat atau sebuah kutukan menghina. Saya ulang, nasihat atau hinaan? Adakah itu satu kaedah yang baik untuk menyedarkan orang lain? Atau sebuah keangkuhan yang merasakan diri kita ini lebih suci daripada orang lain (holier than thou)? Sedikit-sebanyak saya turut tersinggung juga apakah menjadi penggiat seni ini “hancus” sangat sehingga sedap-sedap saja dikutuk!

Mengapa golongan artis atau penggiat seni sangat mudah dijadikan sasaran kutukan? Pertamanya hal ini berlaku kerana ia berbalik semula kepada sistem pendidikan kita yang mengabaikan cabang kesenian. Justeru penghargaan terhadap seni itu tiada. Seni lakon, nyanyian, muzik mahupun lukisan di mata masyarakat masih dianggap sebagai bahan hiburan ringan yang tak ada faedah dalam pembangunan insan. Malah dalam masyarakat kita telah ditanam bahawa hiburan boleh membawa kepada keruntuhan akhlak sehingga boleh mendatangkan malapetaka dan bala. Ini tidak menghairankan juga kerana penggiat seni dan hiburan itu sendiri pun ada yang buat hal. Ini membantu membenarkan lagi tanggapan negatif yang telah dilemparkan kepada mereka selama ini. Sebab itulah bidang seni hiburan terus dianggap kotor – tidak sesuai untuk orang yang dah tua macam Zainal, Amy Search, Ella atau Wan Maimunah. Tetapi kalau artis tua pergi naik ke pentas berceramah membongkar masa lalu mereka ketika dalam dunia hiburan yang digelar oleh mereka sendiri sebagai zaman jahiliah, itu masyarakat suka sampai ternganga, kagum dan “stim” dengar ceramah mereka. Syukur, artis tua itu sudah kembali ke pangkal jalan, kata mereka dengan senang hati sebelum sambung mengutuk artis tua lain yang masih gemar bermaksiat.

Seni hiburan bagi masyarakat kita bukan untuk orang tua. Orang tua kena ingat mereka sudah berbau tanah. Drama, lagu, filem, konsert ini hanya untuk orang muda sahaja. Cerita-cerita drama dan filem pun hanya berkisar perihal orang-orang muda sahaja. Pelakon yang sudah tua hanya layak jadi mak-mak atau pak cik surau. Itulah “standard” mereka. Bila pelakon seperti Wan Maimunah dan Jalil Hamid bersuara tentang bayaran mereka sangat kecil, warganet akan menyuruh mereka bersara dan tumpukan kepada akhirat. Senang sahaja penyelesaiannya. Kau dah tua dan dah tak diperlukan, pergi blah – bertaubatlah sebab dah nak mampus. Waduh!

Tapi dari segi lain pula, semua ini berlaku pun kerana dalam kalangan pemain industri tersebut jugalah yang memperlekehkan bidang mereka sendiri dengan menyudutkan artis tua hanya sebagai penempel murahan. Kalau tak ada pun tak apa. Mereka, pelabur dan penerbit dalam bidang ini jugalah yang turut sama terlibat merendahkan standard seniman-seniwati tua ini. Jika mereka yang bergelumang dalam industri sama pun menghina apa diharap dengan masyarakat?

Dalam seni hiburan Malaysia, menjadi tua adalah suatu kesalahan. Ini berlaku sebaliknya di luar sana. Rajinikanth yang sudah berusia 72 tahun pun masih menjadi hero dalam filem tamil Jailer arahan Nelson Dilipkumar pada tahun 2023 ini. Denzel Washington pula muncul dalam The Equalizer 3. Begitu juga Al Pacino, Meryl Streep atau band seperti The Rolling Stones dan “dinosaur-dinosaur” yang lain. Nama mereka masih masyhur dan dihormati sepanjang zaman. Kita di sini? Hey, pakcik perbanyaklah pergi masjid. Tapi apabila artis tua ini meninggal dunia kita mulalah mengenang-ngenang jasa mereka dan mengutuk pihak-pihak lain yang tidak mengiktiraf bakat dan sumbangan mereka dalam bidang seni. Anehnya dalam politik pak cik, mak cik, lebai dan atuk dalam masih disanjung serta diangkat macam wira. Takut pula nak menempelak politikus tua supaya berhenti berebut kuasa, memfitnah, mengarut dan merepek? Suruhlah mereka bersara dan bertaubat. Kenapa tak berani buli mereka? Kerana mereka berkuasa? Janganlah “double standard”.

Tua dan muda bagi saya itu angka. Benar, fizikal kita akan berubah semakin kita berusia tetapi apa yang kita lalui seusia hidup ini akan membuat kita menjadi semakin “muda”. Orang dulu-dulu berkata “aku makan garam lebih dahulu daripada kamu” bukanlah maksudnya tentang makan garam itu. Kalau mereka kata makan gula pun maka akan jadilah ayat lain pula. Yang dimaksudkan ialah orang tua sudah merasai lebih awal daripada orang muda tentang berbagai pengalaman hidup. Mereka sudah alaminya lebih awal. Sekilas ikan di air sudah tahu jantan betina. Itu maknanya melalui ilmu dan pengalaman yang telah mereka lalui dan pelajari, mereka telah meniti tingkat demi tingkat kehidupan ini maka bagi orang tua yang tahu menjalani kehidupan yang bermanfaat akan mendapati – menjadi tua adalah sebuah pengalaman yang sangat indah untuk terus menjadi lebih tu lagi. Orang muda belum ada pengalaman menjadi tua maka mereka tidak ada pengetahuan mengenai menjadi tua. Ya, ada juga orang tua yang “hampeh”, berlagak konon dia tahu banyak. Ada orang tua yang berasa mereka lebih suci daripada orang lain. Mereka ini bagi saya masih anak-anak yang terperangkap di dalam tubuh yang semakin mengecut. Apa salahnya kalau kita melihat orang lain lebih baik daripada diri kita sendiri di sisi tuhan. Salahkah?

Soal amal ibadat orang lain bukan hak kita menilaikannya. Antara terlompat-lompat di pentas dengan mengutuk orang lain sewaktu melepak di serambi masjid menunggu azan berkumandang itu kita fikir-fikirlah mana yang lebih teruk tetapi bukanlah tugas kita untuk menghakiminya. Menasihat bukan tak boleh malah itulah yang dituntut tapi hendak menasihat orang lain juga harus tahu bagaimana hendak menasihat. Nak kena ada adab, kaedah dan cara. Takkan tak baca surah al-Asr? Berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

“Yelah! Aku cakap benarlah ni.”
“Kau sampaikan yang benar dalam bentuk berpesan-pesan atau kau mengutuk-ngutuk? Adakah dengan kesabaran?”

Rileks-rilekslah. Kalau nak menasihat, menaiplah selepas berfikir dengan waras tapi kalau nak mengutuk tak mengapa sebab nak mengutuk memang memerlukan kebengapan yang amat tinggi. Bukan orang tua sahaja yang berbau tanah, yang muda dan nampak sihat-sihat itupun silap-silap selepas menaip terus mampus. Kan?

Tiada ulasan: