Faiz Zainudin
Penganjur Himpunan Selamatkan Malaysia mengumumkan tiada perhimpunan..
KUALA LUMPUR: Himpunan Selamatkan Malaysia berlangsung dengan peserta berkumpul di sekitar Masjid Jamek Kampung Baru dan bergerak beramai-ramai ke IPD Dang Wangi.
Di sebalik semua aktiviti itu, penganjur mengumumkan bahawa tiada perhimpunan diadakan dan pergerakan ke IPD Dang Wangi itu bukan perarakan.
Sebelum bergerak ke balai polis, peserta ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ diilihat berada di kiri kanan jalan sekitar masjid sambil memegang kad ‘Dakwa Zahid’, manakala penganjur memberikan ucapan.
Penganjur Himpunan Selamatkan Malaysia menyifatkan pergerakan ke IPD Dang Wangi bukan perarakan.
“Pimpinan di sini akan menuju ke IPD Dang Wangi. Kami akan berjalan kaki melalui hadapan Sogo. Siapa nak ikut, siapa tak nak ikut terserah tapi kita akan berjalan menuju ke IPD Dang Wangi untuk buat laporan,” kata wakil sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Nazir Helmi yang juga ketua penerangan Pemuda PAS.
Nazir menyifatkan perjalanan sejauh 2km ke IPD Dang Wangi itu sebagai ‘mengiring’ pemimpin.
“Ini bukan perarakan tapi nak iringi pimpinan. Jangan lakukan provokasi. Pastikan tak ganggu orang ramai,” katanya sebelum perjalanan bermula.
Peserta berhenti di Sogo di mana mereka mendengar ucapan sambil menunggu wakil selesai membuat laporan polis.
Laporan polis akan dibuat oleh ahli jawatankuasa penganjur, Tun Faisal Ismail Aziz.
“Saya akan membuat laporan dan mendesak untuk dakwa semula Zahid Hamidi,” katanya.
Pergerakan manusia itu terhenti di hadapan Sogo, yang merupakan lokasi asal ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ sebelum bertukar ke Kampung Baru.
Di situ, peserta mendengar ucapan sambil menunggu wakil selesai membuat laporan polis.
Antara watak yang kelihatan di IPD Dang Wangi adalah Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional Tun Faisal Ismail Aziz, dan Ketua Penerangan Pejuang Muhammad Rafique Rashid Ali.
Mereka memasuki balai polis kira-kira 2.30 petang tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan