"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas menteri dalam negeri pertikai cadangan dwi kerakyatan

Lynelle Tham

PETALING JAYA: Seorang bekas menteri dalam negeri menolak gesaan agar kerajaan mengamalkan dasar dwi kerakyatan, dengan berkata ia tidak selari dengan usaha pembangunan negara yang sedang berjalan.

Syed Hamid Albar berkata, Malaysia masih dalam proses membina identiti nasional yang kukuh memandangkan konteks multidimensi negara, yang dicirikan oleh dinamik kepelbagaian etnik, menimbulkan cabaran dalam sistem politiknya.

“Saya rasa konsensus dalam kalangan kerajaan dan majoriti rakyat adalah kita perlu membina (identiti nasional) lebih lama lagi sebelum kita boleh pertimbang dwi kerakyatan,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, garis berkaitan dengan kesetiaan akan menjadi kabur bagi individu tersebut.

“Apa akan berlaku jika negara (angkat) dan negara asal anda bertelagah?”

Beliau diminta mengulas mengenai gesaan diaspora Malaysia di Amerika Syarikat agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertimbang memformalkan dua kerakyatan.

Anwar dilaporkan berkata, pentadbiran akan membincangkan perkara itu lebih lanjut dan menilai implikasinya, memandangkan ia akan melibatkan keputusan dasar penting.

Pada masa ini, Malaysia mengamalkan kerakyatan tunggal. Perkara 24 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa kerakyatan Malaysia mana-mana warganegara yang memperoleh kerakyatan negara lain boleh dilucutkan.

Sementara itu, kumpulan Family Frontiers berkata, ibu-ibu rakyat Malaysia masih menunggu kerajaan membentangkan pindaan perlembagaan untuk memberikan kerakyatan secara automatik kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara.

“Ini isu yang telah berlarutan terlalu lama dan menyebabkan kepayahan serta kesan buruk kepada ibu dan anak yang terjejas,” kata pengarah penyelidikan dan komunikasinya, Patricia Low.

Potensi bercanggah Perlembagaan

Walaupun beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda untuk membenarkan dua kerakyatan, peguam Joshua Wu berkata, ia mungkin bertentangan dengan doktrin struktur asas dan dianggap bercanggah dengan perlembagaan.

Wu berkata, doktrin struktur asas boleh jadi Laporan Suruhanjaya Reid 1957, yang menekankan kesetiaan kepada negara sebagai konsep teras kerakyatan tunggal.

“Seseorang juga boleh berhujah bahawa kerakyatan tunggal ialah hasrat penggubal Perlembagaan Persekutuan. Ia membentuk sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan,” tambahnya.

Pakar undang-undang perlembagaan Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, walaupun digantikan oleh versi 1957, juga boleh dirujuk dalam mencari rasional bagi beberapa prinsip dan elemen kekal Perlembagaan Persekutuan semasa.

“Jadual kedua perjanjian 1948 itu menyatakan bahawa sesiapa yang menganggap persekutuan, atau mana-mana bahagian daripadanya, sebagai kediaman sejati dan pusat kesetiaan mereka, harus mempunyai bentuk kewarganegaraan yang sama,” katanya.

Tiada ulasan: