"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis sedang lengkapkan permohonan notis merah menantu Muhyiddin

Bernama

Permohonan notis merah Interpol ke atas dua individu termasuk menantu bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, Muhammad Adlan Berhan masih dalam proses dilengkapkan.

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata terdapat beberapa isu teknikal yang kini masih dalam proses dikemas kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Apabila kami dapat lengkapkan ia (notis merah Interpol) kami akan buat permohonan rasmi kepada Interpol kembali,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain serta Pengarah Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Azri Ahmad.

Bulan lepas Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memberitahu media bahawa Muhammad Adlan, 48, dan Mansoor Saat, 69, dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Sebelum ini, hasil semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati kedua-dua individu terbabit meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 dan 21 Mei lepas, dan tiada rekod masuk kembali ke negara ini.

Mengulas mengenai siasatan berhubung dakwaan Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How menghina agama Islam dengan mentafsir sendiri ayat al-Quran, Ayob Khan berkata dua laporan polis telah diterima berhubung kes itu.

“Lee telah selesai diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak pada Selasa lepas dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Sebelum ini, Lee memohon maaf secara terbuka atas tindakannya memetik ayat al-Quran dalam satu video di laman media sosialnya baru-baru ini dan menjelaskan bahawa dia sama sekali tidak berniat menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.

Mengenai perkembangan siasatan dakwaan kes gangguan seksual dan fitnah membabitkan pendakwah bebas serta pempengaruh media sosial The Mondy Tattoo, Ayob Khan berkata setakat ini 10 individu telah selesai memberi keterangan dan beberapa individu lagi akan dipanggil.

-Bernama

Tiada ulasan: