"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Puad Zarkashi: ‘SPRM kena siasat segera, dakwa calon Pas’

MUKHRIZ MAT HUSIN

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya menyiasat dan mendakwa calon Pas di Kuala Terengganu dan Kemaman berhubung isu rasuah dan sogokan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, amat ganjil kerana mahkamah memutuskan kedua-dua calon itu perasuah tetapi tidak didakwa dan boleh bertanding semula.

Ujar beliau, situasi tersebut mungkin juga boleh berlaku di Masjid Tanah melibatkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin apabila Mahkamah Pilihan Raya Melaka pada Isnin menetapkan 27 Oktober depan sebagai tarikh keputusan petisyen pilihan raya untuk kerusi Parlimen di kawasan berkenaan.

“Menurut sumber bukti video cukup jelas, bagi duit terang terang. Mana boleh dia bertanding semula.

“Mahkamah Pilihan Raya batal kemenangan mereka kerana isu rasuah. Apakah tidak wujud prima facie?

“Justeru SPRM kena siasat segera, dakwa mereka. Masjid Tanah kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Patutlah Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin tidak histeria,” katanya dalam siaran di Facebook beliau pada Rabu.

Pada 27 Jun, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen itu, Mohd Zubir Embong selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.

Pada Selasa, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menerima petisyen yang difailkan seorang pengundi bagi membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman dari Pas, Che Alias Hamid pada PRU15.

Keputusan itu dibuat Hakim Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen Kemaman.

Tiada ulasan: