"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Baling cat dan colok ke pagar masjid, pemandu van didenda RM9,500

HARAPAN DAILY
Pemandu van, S Velan, 43, dari Teluk Air Tawar, Butterworth dijatuhkan hukuman denda RM9,500 hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengganggu sensitiviti agama di sebuah masjid di Lunas minggu lalu.

Tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mirza Mohamad di Mahkamah Majistret Kulim hari ini.

Berdasarkan pertuduhan pertama tertuduh didakwa mengganggu sensitiviti agama dengan membaling cat ke pekarangan Masjid Jamek Taman Kucai, kira-kira jam 3.26 pagi pada 19 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga mengaku bersalah atas pertuduhan berasingan mengganggu sensitiviti agama dengan membaling colok sembahyang ke hadapan pagar masjid yang sama, kira-kira jam 2 pagi pada 24 September lalu.

Timbalan Pendakwa Raya S Pavitra, manakala tertuduh diwakili Peguam Fieza Fazlin Fandi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, dipetik BH.

Di mahkamah yang sama, Velan mengaku bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan dadah dengan memasukkan methamphetamine ke dalam badannya.

Dia melakukan kesalahan itu kira-kira jam 6.20 pagi pada 24 September lalu di bahagian Siasatan Narkotik polis daerah Kulim.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 38B akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan menjalani pengawasan sehingga tiga tahun.

Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Jan 2024 untuk tarikh sebutan sementara menunggu laporan patologi.

Tiada ulasan: