"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

YB macam mana yang kita mahu?

Mohsin Abdullah

Suatu masa dulu, agak lamalah juga, ada cadangan supaya gelaran YB ditukar daripada “Yang Berhormat” kepada “Yang Berkhidmat”. Cadangan dibuat beberapa Ahli Parlimen yang sendiri bergelar Yang Berhormat.

Kata sang pencadang, gelaran Yang Berkhidmat akan menekankan ‘perkhidmatan’ sang pemakai. Dalam lain perkataan, mereka mahu dikenali sebagai orang yang berkhidmat kepada negara dan rakyat. Semestinya kerana mereka dipilih oleh rakyat menerusi peti undi. Sesuailah. Bukankah mereka dikenali dan memanggil diri mereka si wakil rakyat?

Apabila saya dengar akan cadangan itu, hati saya berkata yang penting tanggungjawab yang dijalankan dan bukannya gelaran. Tak kiralah sama ada YB bererti Yang Berhormat, Yang Berkhidmat, atau Yang Bagus. Apa ada pada nama, betul tak? Meskipun begitu saya akui cadangan itu bagus. Sekurang-kurangnya menarik.

Buat seketika Yang Berkhidmat menggantikan Yang Berhormat pada papan tanda pejabat YB, pusat perkhidmatan, juga kepala surat dan sebagainya. Ramai juga rakyat biasa yang suka gelaran Yang Berkhidmat dipakai pemimpin yang mereka pilih pada pilihan raya. Namun lama-kelamaan Yang Berkhidmat bertukar semula kepada Yang Berhormat. Bukan mereka tidak minat berkhidmat, cuma gelaran Yang Berkhidmat sudah hilang lantas dilupakan. Tak kisah lah. Seperti dikatakan tadi apa ada pada nama, dan dalam soal ini apa ada pada gelaran.

Yang Berkhidmat mahu pun Yang Berhormat – asasnya memikul tanggungjawab dengan baik dan beramanah, menjalankan tugas dengan cekap dan melayan rakyat dengan cemerlang. Lalu golongan pengundi (yang mengundi mereka atau yang tidak) memang menjangkakan YB mereka wajib memberi perkhidmatan paling baik. Umpamanya hulur bantuan waktu musibah menimpa dan mengatasi segala macam masalah yang dihadapi pengundi secara langsung dan kawasan mereka tinggal. Contohnya sampah tidak dipungut dan longkang tersumbat. YB are expected to menyelesaikan masalah.

Seorang bekas pemimpin politik memberitahu saya, waktu beliau menjadi Ahli Parlimen kawasannya ada puluhan kuil dan tokong. Maka hampir setiap hari ada upacara diadakan dan beliau wajib menghulur bantuan setiap kali ada ucapara. Bantuan juga diberi untuk majlis di masjid. Itu belum kira ada kematian, majlis kahwin, anak masuk universiti serta bermacam lagi. Beliau bukan merungut. Sekadar bercerita aktiviti harian waktu itu. Beliau sudah lama bersara dan tidak lagi aktif berpolitik.

Secara am apa yang beliau lakukan turut dilakukan oleh ramai YB. Diakui ada yang tidak sebaik itu namun rata-rata begitu harapan yang diletak ke atas mereka oleh rakyat (baca: pengundi).

Ada pihak sejak dahulu menyatakan itu bukan tugas YB terutama Ahli Parlimen. Mereka berpendapat Ahli Parlimen tugasnya membahaskan dasar negara dan perundangan. Selaras tanggungjawab mereka selaku ahli badan perundangan. Kerja ‘amal’ untuk pengundi, kata pihak berkenaan, terletak pada bahu para pegawai dan kakitangan kerajaan yang berwajib termasuk pegawai kebajikan bergaji yang mesti berkhidmat untuk semua kawasan, tidak kira wakil rakyatnya anggota parti memerintah mahupun pembangkang. YB kawasan berkenaan pula wajib memastikan golongan pegawai menjalankan tugas sebaik mungkin. Apa yang saya coret ini bukan isu baharu.

Namun baru-baru ini kawan lama Wan Hamidi Hamid, bekas ketua pengarang The Rocket milik DAP, membuat hantaran menarik di Facebook. Begini:

“Kita marah apabila wakil rakyat, Ahli Parlimen dan ADUN tidak datang melawat kawasan kita. Walaupun setiap minggu malah ada wakil rakyat yang selang tiga hari melawat kawasan. Tapi asal kita tak nampak muka dia kita maki hamun dia, tuduh dan tulis dalam media sosial betapa tidak bergunanya wakil rakyat itu.”

Bukan itu sahaja, kata Wan Hamidi: “Apabila kita pergi ke pejabat atau pusat khidmat wakil rakyat, sentiasa ada staf dan pembantunya kita tetap tak puas hati. Kita mahu tengok muka YB kita di dalam pejabat kawasan.”

Benar. Tentunya kita sendiri ada mendengar atau melihat apa yang dikatakan itu. Lalu beliau mengaju persoalan:

“Adakah kita mahu Ahli Parlimen dan Adun menjadi ahli majlis yang menjaga parit, longkang, jalan, sampah dan segala-galanya serta perlu sentiasa ada di dalam kawasan?”

Jika bukan ini yang kita mahu, bertanya Wan Hamidi, “mengapa kita menolak pilihan raya tempatan iaitu pilihan raya untuk memilih ‘wakil rakyat’ di peringkat dewan bandaraya, majlis perbandaran dan majlis daerah?”

Di negara ini, menurut beliau, ada 145 pihak berkuasa tempatan. Pasti dari segi perundangan dan penyusunan semula struktur akan mengambil masa untuk diadakan pilihan raya tempatan “tetapi ia tidak mustahil malah boleh dilaksana”.

Jelas, bagi Wan Hamidi, kerja ‘amal’ yang dinyatakan tadi tugas ahli majlis yang punya pasukan masing-masing. Mereka memantau dan mesti memastikan pegawai kerajaan tempatan atau perbandaran efisen.

Kata beliau, biar Ahli Parlimen menumpukan 70% masa mereka untuk Parlimen dan hal dasar negara. Biarlah ADUN menumpukan 70% masanya untuk Dewan Undangan Negeri dan hal dasar negeri.

“Untuk kita di kampung, di pekan, di bandar, di kawasan perumahan, yakni di peringkat akar umbi biarlah wakil rakyat yang bergelar ahli majlis menumpukan 70% masa untuk kita sebagai pengundi dan 30% untuk mesyuarat majlis tempatan masing-masing,” kata beliau.

Ahli majlis dilantik menerusi pilihan raya tempatan namun, bak kata Wan Hamidi tadi, “kita tolak” pilihan raya itu. Pada hemat saya ada dalam kalangan kita tidak membantah pilihan raya tempatan tetapi menolak hanya kerana parti politik yang disokong menolak pilihan raya berkenaan.

Parti kesayangan tolak mereka pun tolak, gamaknya. Dan penolakan parti lazimnya berbaur perkauman. Sedih.

Tiada ulasan: