FMT Reporters
PETALING JAYA: Sebuah kilang plastik di Taman Tan Sri Yaakob, Johor Bahru disiasat atas dakwaan gagal menyediakan penginapan sesuai bagi 325 pekerja asingnya.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kementerian Sumber Manusia (KSM), Asri Abdul Wahab berkata syarikat itu hanya menyediakan lima ruang penginapan di kawasan simpanan produk siap, dengan setiap penginapan menempatkan kira-kira 65 pekerja.
Katanya, majikan tidak menyediakan katil untuk pekerja, selain bilik mandi tidak berdinding dan terletak bersebelahan dapur.
“Bilik digunakan untuk tidur juga kawasan memasak dengan barangan seperti bawang dan cili disimpan bersama. Peti ais juga ada di dalam bilik tidur.
“Saiz ruang penginapan disediakan hanya sesuai untuk kegunaan enam pekerja dengan sebuah bilik air. Malah, pekerja juga tidak disediakan lokar berkunci untuk menyimpan barangan peribadi, termasuk pasport mereka,” katanya menurut Bernama selepas mengetuai serbuan di premis itu.
Beliau berkata, operasi bersepadu itu dijalankan bersama pelbagai agensi, termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan polis pada 2.30 petang tadi hasil aduan awam pelbagai sumber.
“Kebiasaannya, serbuan kita hasil risikan pegawai dan anggota, aduan pekerja asing sendiri melalui kedutaan atau melalui NGO khususnya yang terlibat dengan isu hak asasi manusia,” katanya sambil menambah majikan juga didapati melanggar beberapa hak asasi pekerja sejak 2021.
Katanya, kertas siasatan dibuka, dengan kenyataan pekerja dan majikan diambil, manakala tindakan akan diambil terhadap majikan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan