"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sembilan lelaki didakwa merusuh guna senjata

Bernama

MELAKA: Sembilan lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas tuduhan merusuh menggunakan senjata tajam sehingga menyebabkan dua daripada mereka cedera.

P Kogilanathan, 24, dituduh dengan dua pertuduhan iaitu menyebabkan cedera parah ke atas D Mahendran, 43, dan N Murthy, 37, dengan menggunakan sebilah parang iaitu satu senjata yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di persimpangan Taman Ayer Merbau, Jasin pada 12.32 tengah malam, 11 September lalu.

Kogilanathan dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Sementara itu, lapan lagi tertuduh iaitu A Loges, 30; V Megan, 26; R Thiven, 26; Mahendran; P Thanabalan, 33; Murthy; D Thivendran, 33; dan M Kugan, 28, dituduh secara bersama merusuh dengan menggunakan senjata seperti parang, besi dan kayu sehingga menyebabkan cedera di kepala dan badan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Nora Yaacob memohon agar mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM25,000 bagi setiap pertuduhan ke atas Kogilanathan manakala RM15,000 bagi lapan tertuduh lain.

Bagaimanapun, tiga peguam tertuduh iaitu Jason Anthony, V Segaran dan SA Amritpal Singh memohon agar semua tertuduh dibenar diikat jamin dengan jaminan rendah memandangkan mereka masih menanggung keluarga masing-masing.

Jason mewakili Kogilanathan; Segaran mewakili Loges, Megan, Thiven dan Kugan manakala Amritpal Singh mewakili Mahendran, Thanabalan, Murthy dan Thivendran.

Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan Kogilanathan dibenar diikat jamin RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan manakala lapan yang lain masing-masing diikat jamin RM7,000 serta menetapkan 7 November ini sebagai sebutan semula kes.

Tiada ulasan: