"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bila PAS bagi bola tanggung

Hishamuddin Aun

Tempoh hari bukan main galak lagi Tuan Ibrahim Tuan Man berkongsi yang Pas dapat bola tanggung sebagai modal kempen pada PRK Pelangai 7 Oktober ini. Kata timbalan presiden PAS itu, kalau tak ambil peluang smash bola tanggung itu, kira paling rugilah. Peluang dah di depan mata, apa lagi gunakan sajalah.

Maksud Tuan Ibrahim itu ialah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi.

Keputusan pada 4 September itu dibuat Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan timbalan pendakwa raya. Ini susulan Jabatan Peguam Negara berhujah bahawa langkah itu untuk membolehkan siasatan lanjut dan mengelakkan keadilan daripada tidak dilaksanakan.

Tuan Ibrahim kata kerajaan perpaduan pun harus tahu apa-apa isu yang melibatkan kepentingan negara dan kepentingan awam adalah isu-isu yang PAS akan bawa di Pelangai, tambahan pula ia tidak akan jadi tugas mudah buat PAS dalam pertandingan tiga penjuru kali ini.

DUN Pelangai diketahui kubu kuat Barisan Nasional (BN) yang diwakili bekas menteri besar Pahang Adnan Yaakob sejak PRU7 pada 1986, sebelum diambil alih oleh Allahyarham Johari Harun pada PRU15 2022. Lantaran itu, apa saja yang Pas boleh gunakan terhadap BN tentunya akan mereka gunakan sehabis-habisnya. Cuma ketika membuat kenyataannya itu di lobi Parlimen 14 September lalu, Tuan Ibrahim mungkin tidak jangka yang dalam sesingkat masa, bola tanggung boleh kembali kepada BN, khususnya Umno, dalam bentuk satu lagi keputusan mahkamah, tidak kiralah ia pada skala lebih kecil atau besar.

Kata orang, cakap siang pandang-pandang, cakap malam pula elok dengar-dengar. Apa yang kita kata kepada orang, silap haribulan boleh berbalik kepada kita. Itu yang dirasakan terhadap Tuan Ibrahim, yang turut mempertikaikan satu hujah Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai janji untuk menurunkan harga minyak di Parlimen baru-baru ini.

Anwar, ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat pada 19 September lalu menjelaskan ketika beliau membuat janji “hari ini kita menang, esok harga minyak turun”, ia dipersetujui bersama oleh pimpinan PKR, DAP, dan PAS, yang Tuan Ibrahim adalah sebahagian daripada gabungan ketika itu. Tapi pembangkang bukannya nak dengar.

Ketika Anwar mahu menjelaskan DNAA Zahid atas budi bicara peguam negara ketika itu mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan – seperti dituntut mereka melalui usul yang lebih awal ditolak – mereka sebaliknya buat ‘drama’.

Belum pun habis penjelasan Anwar, blok pembangkang keluar berama-ramai dari Dewan Rakyat atas alasan rakan mereka yang juga Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin diserang tanpa bukti. Kasihan Radzi yang sehingga hari ini terus dipersendakan di media sosial dengan video pekikan “tarik balik, tarik balik” olehnya, dengan sebilangan netizen menggelarnya Ahli Parlimen yang mudah “koyak”.

Menjelang PRK Pelangai, isu DNAA Zahid ini sudah lebih dahulu digunakan Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Nor dalam majlis ceramah di Dataran Purnama, Simpang Pelangai, Pahang Ahad lalu. Namun, sukar diukur penerimaan ramai terhadap isu itu kerana mereka lebih terhibur dengan lawak jenaka dan maki-hamun yang dibawa Sanusi dalam loghat Kedahnya.

Sanusi mungkin laku keras di Kedah sepanjang kempen PRK enam negeri 12 Ogos lalu tapi tak laku dalam kempen PRK Pulai dan Simpang Jeram pada 9 September. Lawak jenakanya yang dikitar semula umpama memainkan piring hitam lama, semakin jemu untuk didengar.

Kelmarin pula, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kemaman terbatal dan tidak sah, sekali gus membatalkan kemenangan PN. Hakim Anselm Charles Fernandis menerima dakwaan pempetisyen berhubung sogokan semasa tempoh berkempen untuk meraih undi bagi calon, Che Alias Hamid dari PAS.

Ini kes kedua seumpamanya. Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan calon PAS, Ahmad Amzad Hashim bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Keputusan dibuat Hakim Mohd Firuz Jaffril selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15. Ahmad Amzad kemudian menang PRK Kuala Terengganu dengan majoriti 47,266 pada 12 Ogos serentak dengan PRN enam negeri.

Ini bukan tuduhan atau sangkaan jahat, ini keputusan mahkamah. Agak-agak Tuan Ibrahim rasa ini cukup tak untuk Umno jadikan bola tanggung? Barulah kira adil jika kedua-dua pihak sama-sama mahu gunakan kes mahkamah dan biarkan pengundi membuat tafsiran sendiri dalam memutuskan pilihan mereka.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Noor Adam, dalam siaran hariannya di dalam talian pada malam yang sama dengan keputusan mahkamah itu, menyimpulkan bahawa mahkamah mengesahkan bahawa PN dan juga PAS parti perasuah.

Ini berdasarkan hakim menerima dakwaan pempetisyen itu bahawa terdapat sogokan di beberapa majlis rasmi kerajaan negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang diagihkan kepada pengundi ketika tempoh berkempen PRU15 untuk meraih undi kepada Che Alias.

“Kalau nak ikutkan, i-Belia dan i-Siswa ini sebenarnya di seluruh negeri Terengganu. Kalau semua pihak boleh memainkan peranan memberi keterangan di mahkamah, maka sudah pasti seluruh negeri Terengganu boleh dibatalkan pilihan raya mereka,” kata Lokman lagi. Tapi itu pandangan beliau, terpulang kepada sesiapa saja untuk buat penilaian.

Setakat ini, belum lagi didengar ada mana-mana pemimpin Umno yang menggunakan keputusan Mahkamah Pilihan Raya ke atas calon PAS Kemaman itu di pentas ceramah di Pelangai. Barangkali tidak seperti PAS, Umno sebenarnya tidak ketandusan modal daripada segi rekod perkhidmatan, pembangunan, dan perpaduan untuk memikat hati pengundi.

Cuma, sekadar mengulangi kata-kata Tuan Ibrahim, kalau tak ambil peluang daripada bola tanggung, kira paling rugilah!

Tiada ulasan: