"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Raja Bahrin: PAS sendiri 'undang' polis awasi gerak kerja di Pelangai

Malaysiakini 

Amanah berpendapat PAS tidak wajar berasa 'rimas' dengan kehadiran pasukan keselamatan semasa berkempen di Pelangai sekarang.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata keadaan itu berlaku kerana PAS sendiri seolah-olah menjemput polis dengan pelbagai kenyataan mereka terhadap kerajaan.

Hal itu, katanya, patut disedari Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan selaku seorang ahli politik senior, pernah menganggotai kabinet dan memiliki latar belakang pendidikan undang-undang.

Selaku peguam, katanya, Takiyuddin tentu sedar betapa pentingnya nilai keselamatan awam dipelihara terutamanya apabila ramai orang luar dan tidak di kenali bertumpu di Pelangai.

"Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, sendiri pernah membayangkan jutaan orang Islam akan membanjiri Kuala Lumpur untuk berdemonstrasi ekoran insiden Howard Lee memetik ayat al-Quran.

"Tidak cukup dengan itu, serangan peribadi, mencarut dan membabitkan kecaman tubuh badan ahli DAP juga berlaku, kemudian mendakwa akan ada 'apek berseluar pendek' mengajar agama di masjid suatu hari.

"Dengan suhu politik yang dipanaskan sebegitu, tentulah lebih baik polis mengambil langkah berjaga-jaga supaya api kebencian tidak merebak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi Amanah Terengganu itu juga mengingatkan, di Pelangai lebih 20 peratus daripada pengundinya adalah masyarakat Cina.

Polis bertindak betul

Pagi tadi PAS menzahirkan rasa tidak senang apabila program dan gerak kerja mereka di Pelangai seakan-akan dibayangi polis. Misalnya Takiyuddin mendakwa ada anggota Cawangan Khas (SB) mengikut pergerakan calon PN, Kasim Samat, bertemu orang ramai.

Jumlah kehadiran anggota polis juga dianggap "luar biasa" ramainya termasuk di bilik gerakan atau pusat operasi PN sehingga menakutkan banyak pihak.

Lebih 16,000 orang pemilih berdaftar layak mengundi melantik wakil rakyat baru untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Pelangai esok berikutan kematian penyandangnya, Johari Harun, pada 17 Ogos lalu.

Kasim merupakan Naib Yang Dipertua PAS Bentong dan menjadi pertaruhan PN sekali lagi di Pelangai. Dia berdepan dengan dua pencabar iaitu Amizar Abu Adam (BN) dan Haslihelmy DM Zulhasli (bebas).

Kasim Samat (kanan)
Raja Kamarul Bahrin berkata polis mengambil langkah yang betul apabila berhati-hati menjaga ketenteraman awam ketika pelbagai kemungkinan atau ketegangan wujud di Pelangai.

Justeru, katanya, PAS tidak patut menyalahkan pihak berkuasa kerana parti itu sendiri memanaskan suhu politik di dalam negara, khususnya di Pelangai sejak awal tempoh berkempen lagi.

"Sebagai peguam Setiausaha Agong PAS patut menasihatkan Sanusi mengenai pentingnya menjaga ketenteraman awam.

"Politik kebencian agama dan kaum memang patut diawasi oleh pihak polis kerana suasana yang menjurus ke arah itu disumbangkan sendiri oleh PAS," katanya.

Tiada ulasan: