"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sedikit kebimbangan di hati kami jika PAS menang menguasai negara ini, lalu Sanusi jladi menteri

Abdullahjones

“Ka semayang (masjid) la Pok," kata Abu, "dah-dah la panjat bukit, masuk utan.”

Kami yang memang kaki nasi tambah ini pun apa lagi. “Ntah, esok payoh Abu nok ziarah ka. Neraka panas Pok."

“Pala otok ka,” jawab Pok.

Pok masih berambut panjang dan di media sosial dia menggunakan menggunakan filter gebu pada semua gambarnya.

Ia mengakibatkan wajah Pok yang menggerutu dek parut jerawat itu kelihatan manis, malah teramat manis . Dari jauh - kepada orang yang tidak hati-hati - lelaki itu kelihatan ada iras-iras pemain gitar kumpulan Sweet Charity, Rosli Mohalim.

Kami duduk berbual-bual setelah lama tidak bertemu. Pok bukan tak sembahyang, bahkan dia memang kuat sembahyang. Cuma dia culas ke masjid.

Kami ini kerana sudah lama kenal, bebas bergurau.

Biasalah, apabila rahsia siapa yang jual dadah, siapa yang hisap dadah, siapa yang mencuri seluar dalam di Chung Hwa Emporium sama-sama kami ketahui, tentulah tidak ada malu lagi antara kami untuk saling menasihati.

Antara perkara yang mengembangkan hati pada usia senja begini ialah apabila terserempak dengan sahabat-sahabat zaman lampau di masjid.

Berbunga-bunga hati ketika melihat teman pada zaman penuh kemalangan dulu kini saling berusaha mencari reda Tuhan. Balik asal, kata orang.

Sebut fasal balik asal, kita semua sememangnya patut berasa lega apabila kini kita dapati PAS sudah menjadi sebuah partai yang benar-benar memperjuangkan Islam.

Kita tentu saja tidak akan melupakan bagaimana mereka sampai hati menobatkan seorang politikus tidak beragama Islam sebagai jelmaan Khalifah Umar Abdul Aziz.

Tercalar benar muka kita dengan keaiban apabila mereka - hanya kerana mahukan kuasa - bertindak melulu menyamakan seorang bukan Islam dengan seorang pemimpin hebat Islam.

Hati kecil kita mahu menganggap itu sebagai khilaf, sementara hati besar kita pula teramat marah.

Juga siapa boleh melupakan apabila mereka itu - yang kerjanya siang dan malam adalah untuk kesejahteraan Islam - mula berkeris dan bertengkolok serta berbusana seorang sepasang lalu berarak di dewan partai ekstrem Melayu sambal berjujuran air mata!

Cari lokasi drama

Di mana akan kita halakan wajah kacak kita ini apabila partai yang faham ayat-ayat al-Quran, yang tahu bahawa tidak ada sebarang kemuliaan dalam apa bangsa sekali pun kecuali yang beriman kepada Tuhan, tiba-tiba menjadi bidak di atas papan catur politik?

Hancur luluh kulit wajah kita apabila dimalukan sedemikian rupa.

Mujurlah PAS kini kembali bercakap peri pentingnya Islam yang mereka bawa.

Lantang dan keras suara mereka mengherdik siapa saja yang membawa ajaran Islam jika ia adalah versi yang lain daripada apa yang mereka mahu.

Inilah PAS yang kita mahukan. Inilah PAS yang kita dambakan.

Mujur juga PAS dan rakan haus kuasanya berani menegur ahli politik yang pandai-pandai memetik ayat al-Quran sedangkan dia bukan seorang Islam.

Kita memang bimbang jika lebih ramai orang bukan Islam membaca al-Quran sedangkan kitab suci itu adalah hak eksklusif orang Islam.

Hari itu kami mengikut Pok membuat road trip. Pok mengajak kami ke Kuantan kerana dia perlu menghadiri mesyuarat sambil mencari lokasi penggambaran bagi sebuah drama arahannya.

Pok mendakwa dia ialah seorang pengarah dan produser filem-filem dokumentari. Untuk pertama kalinya dia akan mengarahkan sebuah drama tivi.

Itu adalah dakwaan Pok padahal kami belum pernah sekalipun seumur hidup melihat apa-apa hasilnya kerja dia. Kami anggukkan saja apabila Pok menceritakan yang dia mengarahkan itu dan ini sedangkan kami sebenarnya langsung tidak percaya.

Selain mesyuarat dan juga mencari lokasi, Pok juga membuat rancangan untuk bertemu dengan sahabat-sahabat yang sudah lama tidak ditemui.

Lalu Pok memanggil Boon, Lok, Dimunoh, Don, Abu, Paul Brian dan juga Mat Ganja.

Orang lama Salafi

Semua datang kecuali Mat Ganja dan Don. Mereka berdua berada di luar kawasan pada hari kami berkumpul. Semasa berbual itulah berlakunya dialog di atas tadi.

“Kalu dia boleh bako anok ayam, mende lagi kita nok harap,” kata Dimunoh apabila perbualan kami masuk isu harga barang-barang. Baru kami sedar rupanya beras, telur dan minyak adalah antara barang yang payah didapati sekarang.

Jika ada pun, harganya lebih mahal dari sebelum ini.

Dimunoh kemudian bercakap mengenai kapitalis dan merebak ke perbualan mengenai Che Guevara. Menurut Dimunoh, Che bukanlah komunis dalam erti kata sebenar.

Che mengikut Fidel Castro pada waktu itu hanya kerana itu wadah yang ada bagi menentang puak kapitalis. Lalu Dimunoh juga tidak bersetuju apabila ada ustaz yang disuruh bertaubat hanya kerana menceritakan perihal kehebatan tokoh tersebut.

Dimunoh orang salaf. Lama sebelum salaf menjadi kontroversi seperti sekarang, dia sudah melalui jalan itu. Sebab itu kami akan sentiasa berhati-hati untuk mengeluarkan pendapat di hadapan dia.

Bimbang dituduh pembawa bidaah.

Boon semasa remajanya bukanlah orang yang kuat bercakap. Hanya setelah menjadi guru dia mula pandai berbual. Boon baru beberapa bulan pencen sebagai pengetua sekolah.

Jika jabatan pendidikan tahu apa yang kami tahu tentang Boon, kami tak rasa dia akan pencen dengan jawatan sebesar itu.

Antara kami, yang paling sedikit dosanya kami rasa ialah Abu. Dia tidak melakukan perbuatan maksiat sejak muda. Jika ada pun kesalahan, ialah apabila dia jatuh cinta bukan pada waktu yang betul.

Kami adalah saksi kegagalan cinta yang dialami Abu.

Dia seorang yang aktif dalam sukan. Selain pemain bola sepak yang hebat Abu juga seorang atlet. Keistimewaan Abu ialah dalam bidang lumba lari jarak dekat.  

Selain itu dia juga seorang pelajar yang cemerlang. Semasa di sekolah dia seorang pelajar yang hampir sempurna. Maka Pok selalu menyebut Abu sebagai idolanya.

Sebut fasal idola, setelah sekian lama ketandusan wira, PAS kini bolehlah berbangga dengan kehebatan Sanusi Md Nor. Dia adalah 'al-Maseh' yang ditunggu-tunggu oleh semua penyokong  partai tersebut.

Kerugian buat negara

Partai yang baik tidak perlu membawakan idea-idea bernas seperti bagaimana mahu menjadikan sesebuah negara itu lebih baik. Cukup dengan berbuat lawak, berjanji lunak dan kadang-kadang menuduh lawan kita sebagai jahat dan lemah - maka sempurnalah kewibawaan yang dihajati.

Dan itu ada pada menteri besar negeri jelapang padi kita.

Memang dari dulu PAS hidup dengan hero yang sedemikian rupa. Penyokong PAS apabila pergi ceramah politik bukan mahu sangat mendengar idea-idea cerdik.

Mereka sudah lama membuat keputusan untuk memilih partai berkenaan walau apa pun yang terjadi. Mati dua kali dan hidup dua kali pun, PAS adalah pilihan hati.  

Lalu tujuan mereka memenuhi tempat ceramah adalah cuma untuk mendengar lawak jenaka dan juga sembang kencang mengenai jahatnya pemimpin partai-partai yang tidak bersama mereka.

Namun begitu, terdapat sedikit kebimbangan di hati kami.

Kami bimbang jika nanti PAS sudah menang dan menguasai negara ini, lalu Sanusi pun dilantik menjadi menteri. Kemudian sifat humor yang ada pada dia akan segera hilang.

Lihat saja apa yang terjadi kepada bekas wira PAS yang dulu iaitu Mat Sabu.

Daripada seorang yang sangat kelakar dan ‘comot’ dia menjadi seorang yang kemas dan tidak lagi berbuat jenaka seperti selalu. Tentu saja negara akan kehilangan dua tokoh lawak jika hal tersebut terjadi.

Apa yang boleh kita harapkan ialah, nanti apabila datang pilihan raya Sanusi dan Mat Sabu sama-sama tewas lalu mereka mula bekerjasama membentuk kumpulan lawak dua orang.  

Meletup beb!

Tentu selesai segala masalah yang kita hadapi nanti kerana kerja kita hanya bergelak dan ketawa dengan dua pelawak tersebut.

Harga beras, minyak dan telur - biar cukong yang tentukan. Kita biar menang sorak sudahlah. Peduli apa ekor bergelumang tahi. Yang penting, menang.

“Ingat pesan Abu,” kata kami kepada Pok sejurus dia keluar dari kereta apabila sampai di rumahnya.

“Yalah.... esok aku start,” jawab Pok.

Sama-sama kita doakan supaya Pok dan kita semua mendengar nasihat daripada Abu itu.

ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pemerhati politik.

Tiada ulasan: