"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Barisan M-M-H mungkin jadi masalah untuk BN di Pelangai

Shahrul Shahabudin
PN bersandar pada gabungan Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin Abdul Hadi Awang untuk meraih undi pada PRK Pelangai.
PETALING JAYA: Gabungan Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Hadi Awang ditampilkan Perikatan Nasional (PN) untuk mengetuai kempen mereka bagi PRK Pelangai akan menimbulkan cabaran sengit bagi Barisan Nasional (BN), kata penganalisis politik.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, kehadiran Mahathir selari dengan tema PN bahawa kuasa politik Melayu terancam dengan kehadiran DAP sebagai sekutu Umno dalam gabungan perpaduan persekutuan.

Katanya, Mahathir, Muhyiddin (presiden Bersatu), dan Hadi (presiden PAS) berjaya menampilkan diri mereka sebagai pelindung hak Melayu dan Islam.

Tiga pemimpin hak Melayu-Islam itu, apabila bekerjasama dalam kempen, akan terus memperjuangkan tema mereka bahawa DAP terlalu kuat, Umno terlalu lemah, dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak dapat mengawal tindakan DAP, kata Azmi kepada FMT.

PRK Pelangai di Pahang pada 7 Okt ini diadakan untuk mengisi kekosongan kerusi DUN itu susulan kematian penyandangnya, Exco kerajaan negeri Johari Harun daripada Umno, dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, bulan lepas.

BN mencalonkan ahli jawatankuasa Umno Bentong Amizar Abu Adam untuk menentang calon PN Kasim Samat dan calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Wan Rosdy sebagai pemberat imbang

Untuk melawan pengaruh Mahathir-Muhyiddin-Hadi, Azmi mencadangkan BN menonjolkan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail sebagai bukti bahawa dakwaan PN tentang penghakisan kuasa Melayu tidak benar, sekurang-kurangnya di Pahang.

Azmi berkata, kedudukan Wan Rosdy akan menunjukkan seorang Melayu masih meneraju di Pahang, berupaya mengawal Adun PH.

BN memegang 16 kerusi dalam DUN 42 kerusi dan bersekutu dengan PH, yang memegang lapan kerusi. PN mempunyai 17 kerusi melalui PAS (15 kerusi) dan Bersatu (2).

Pada Ahad, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, gabungan itu akan menggunakan “senjata” mereka yang paling bahaya, termasuk Mahathir, Muhyiddin dan Hadi, serta Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin untuk kempen PRK di Pelangai.

Terdahulu, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kumpulan negeri pimpinan PN – Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu – sedang diusahakan dengan Mahathir bertindak sebagai penasihat tidak rasmi.

Apa yang BN-PH patut buat

Seorang lagi penganalisis, Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata, penglibatan Mahathir tidak dijamin dapat membantu perjuangan PN kerana beliau malah gagal memimpin bekas partinya, Pejuang, pada PRU15 tahun lepas, yang menyaksikan parti itu kalah di semua kerusi ditandingi, dan calon-calonnya hilang deposit.

Bagaimanapun, katanya, BN-PH tidak patut memandang ringan ancaman PN, walaupun Pelangai kerusi tradisi Umno, memandangkan PN kuat terutamanya di pantai barat Pahang.

Mazlan berkata, Umno harus berusaha meyakinkan ahli akar umbi dan pengundi tradisinya di Pelangai, khususnya di kawasan Felda, untuk terus menyokong parti itu, sekali gus menyekat kehilangan undi Melayu kepada PN seperti yang ditunjukkan pada PRN baru-baru ini.

“PH mesti membantu Umno mendekati pengundi bukan Melayu, kerana terdapat 20% pengundi Cina di sana sebagai simpanan tetap untuk PH. Ini mungkin menyumbang kepada kemenangan Umno di Pelangai,” kata Mazlan.

Tiada ulasan: