"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas pemandu bas bunuh teman wanita dipenjara 40 tahun

V Anbalagan

PUTRAJAYA: Seorang bekas pemandu bas dijatuhi hukuman penjara maksimum 40 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan membunuh teman wanitanya tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Malaya Zabidin Diah menggunakan budi bicara mereka untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara berikutan kelulusan undang-undang oleh Parlimen, yang berkuat kuasa awal bulan ini.

Zabidin berkata, mereka mengekalkan sabitan terhadap M Siva Sangker, 39, tetapi membenarkan perubahan hukuman selepas mendengar hujahan.

“Tiada kekhilafan oleh mahkamah rendah yang boleh dirayu dan sabitan adalah selamat,” kata Zabidin, yang bersidang bersama Hakim Mary Lim dan Abu Bakar Jais.

Hakim boleh mengenakan hukuman penjara antara 30 dan 40 tahun bagi kesalahan membunuh dan sekurang-kurangnya 12 sebatan.

Pada April 2021, Mahkamah Tinggi di Johor Bahru menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada Siva Sangker selepas didapati bersalah membunuh V Durga Devi, 23, seorang tukang cuci di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura.

Dia melakukan kesalahan itu di Jalan Kancil 1 di Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor pada 12.15 tengah hari, 21 Nov 2016.

Mahkamah Rayuan juga mengesahkan sabitan itu tahun lalu.

Hakim perbicaraan Shahnaz Sulaiman menolak pembelaan alibi oleh Siva Sangker, yang mendakwa dia berada di Masai, Johor, ketika kejadian itu berlaku.

Beliau berkata pembelaan itu hanya penafian dan sesuatu yang difikirkan kemudian.

Timbalan Pendakwa Raya How May Ling hari ini berhujah bahawa si mati mengalami 49 kecederaan, termasuk tiga di leher dan kepala yang menyebabkan kematiannya.

Katanya, selepas menetak mangsa, Siva Sangker terus mengejarnya dan meneruskan serangan.

“Dia melakukan pembunuhan yang mengerikan pada siang hari dan di hadapan orang awam lain yang takut untuk campur tangan,” katanya.

How berkata hukuman itu mesti berkadar dengan berat jenayah, dan ia adalah hukuman mati.

Peguam Rajpal Singh, yang mewakili Siva Sangker buat kali pertama di mahkamah tertinggi, berkata peguam sebelum ini tidak cekap dan gagal mengemukakan pembelaan untuk pertimbangan hakim bicara.

Beliau berkata anak guamnya kesal dan memohon maaf kepada keluarga mangsa.

Motif jenayah itu tidak didedahkan di mahkamah.

Rajpal menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kerana Siva Sangker adalah bapa kepada lima anak dan keluarganya boleh melawatnya di penjara jika dia terlepas hukuman mati.

“Biarkan dia berada dalam penjara dan menanggung kesakitan akibat disebat,” katanya.

Tiada ulasan: