"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sanusi: Politikus cerdik atau licik?

Mohsin Abdullah

Sanusi Md Nor. Suka atau tidak, beliau popular. Paling tidak Sanusi dikenali. Ramai tahu siapa Sanusi. Ada yang suka ada yang menyampah. Ada yang sanjung ada yang meluat. Umum tahu kenapa.

Bagi saya sang politikus yang digelar panglima perang PAS seorang yang “shrewd” dan “cunning“. Terjemahan shrewd ialah cerdik. Manakala cunning ialah licik. Keduanya istilah rasmi. Jika diambil kira bahasa pasar, terjemahannya membawa kepada istilah yang kasar bunyinya dan tidak manis diketengahkan di sini. Untuk artikel ini saya memilih terjemahan rasmi.

Semalam FMT melaporkan beliau menganggap dirinya tidak layak menjadi naib presiden PAS lantas menolak tawaran bertanding. Pertandingan dijadual pada muktamar parti itu Oktober ini.

“Saya ada (terima tawaran). Saya tolak. Saya rasa saya tak padan (sesuai) jadi naib presiden, jadi AJK padan lah,” kata beliau dipetik FMT.

Lazimnya dalam pertandingan jawatan parti politik tidak ada tawaran dibuat. Tidak ada “nah hang tanding”. Yang ada pencalonan. Mungkin sebelum pencalonan ada bisik-bisik untuk tanya jika si polan berminat. Bukan menuduh Sanusi tidak berkata benar. Jangan salah sangka. Sekadar menyatakan kelaziman tapi mungkin dalam PAS berbeza.

Apa pun bagi saya, apabila berkata beliau tolak tawaran kerana anggap diri tidak layak, kata-kata demikian mampu mencairkan ramai dalam PAS dan juga luar PAS, iaitu kalangan orang Melayu amnya.

Lihat lagi apa yang beliau kata: “Saya akan bertanding AJK sebab saya rasa saya patut duduk situ saja. Saya tahu diri saya tang (di) mana”. Berkata juga beliau tidak layak duduk di kerusi top 5. Siapa yang tidak cair mendengar itu semua?

Orang Melayu terutama di Kedah akan sifatkan Sanusi seorang pemimpin yang rendah diri, tidak sombong, tidak bongkak walaupun berjawatan menteri besar. Sanusi amat faham budaya Melayu yang tidak suka orang yang sombong, takbur, dan cakap besar.

Apabila beliau berkata “tak padan jadi naib presiden jadi AJK padan lah” maka sah beliau akan kekal dalam Jawatankuasa PAS Pusat. Mustahil beliau akan kalah pemilihan. Oleh itu untuk menjawab pertanyaan yang tertera pada tajuk artikel ini, saya sekali lagi kata Sanusi cerdik juga licik.

Bagaimanapun seseorang politikus gemar juga menggunakan taktik reverse psychology untuk mendorong seseorang (atau sekumpulan) berbuat sesuatu dengan memberitahu mereka jangan buat sesuatu yang dimaksudkan itu. Ada juga yang amat minat test water. Adakah Sanusi seperti sang politikus yang gemar reverse psychology dan test water?

Perlu diambil kira beliau masih muda. Baru berusia 49 tahun. Tentu ramai setuju jika saya kata beliau punya masa depan cerah dalam arena politik negara khususnya PAS. Parti itu pasti memerlukan pemimpin muda untuk membawa ia ke tahap lebih tinggi. Presiden Hadi Awang agak lanjut usia dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man pada usia 63 bukan lah dianggap muda. Lalu jawatan naib presiden kedudukan cukup penting bagi seseorang politikus membuat langkah seterusnya.

Lantas mungkinkah Sanusi akan dipujuk oleh ahli parti untuk mengorak langkah? Bertanding jawatan naib presiden meski mengaku tidak layak? Mungkinkah beliau akan ‘terpaksa akur’ jika suara akar umbi mahukan beliau bertanding? Terpulang interpretasi masing-masing.

Hakikatnya PAS perlukan Sanusi, meskipun beliau hanya duduk dalam Jawatankuasa PAS Pusat sebagai ahli biasa. Jika tidak masakan beliau diangkat sebagai pengarah pilihan raya PAS – melangkaui tiga naib presiden di atasnya.

Sanusi diakui agak crude terutama semasa berceramah dan membuat kenyataaan di depan media. Kasar dan kadangkala dianggap ‘lucah’. Rasanya ada dalam kalangan PAS terutama orang lama yang tidak senang dengan cara beliau, yang mungkin dilihat tidak sesuai dengan imej ‘orang alim’ yang cuba ditonjolkan parti.

Tetapi jika ada yang tidak senang ia dipendamkan, pada hemat saya. Malah kepimpinan tertinggi amat toleran terhadap apa yang dikata dan dilakukan Sanusi meskipun kontroversial. Sebab? Caranya diterima ramai. Tidak boleh dinafikan prestasi baik PAS pada enam PRN beberapa bulan lalu banyak disumbangkan oleh Sanusi.

Sanusi bercakap kasar dilihat orang ramai, terutama orang Melayu luar bandar, sebagai bercakap ikhlas dan berterus-terang. Beliau dianggap one of us atau salah seorang daripada kami yakni orang kampung. Apatah lagi beliau selalu mengingatkan khalayak bahawa dia anak orang miskin dalam keluarga besar, adik-beradik 13 orang. Beliau dilihat tidak lupa asal-usul meskipun pegang jawatan tinggi. Dia dianggap contoh terbaik poor kampong boy made good. Maka tersentuh orang Melayu dibuatnya. Mereka suka Sanusi sekaligus suka PAS.

Namun tidak disangkal tingkah laku Sanusi ada juga merugikan PAS pada aspek sokongan orang bandar termasuk Melayu dan tentunya masyarakat bukan Melayu. Pun begitu bagi PAS sasaran utama ialah Melayu konservatif yang majoritinya berada di luar bandar, dan Sanusi lah tarikannya. Lalu PAS rela menutup mata terhadap apa jua kelemahan dan kepincangan Sanusi (jika ada).

Bolehkah keadaan ini disimpulkan sebagai ‘hang tolong aku, aku tolong hang’? Bagi saya boleh. Saya ulang Sanusi is both shrewd and cunning. Cerdik dan licik.

Tiada ulasan: