Shahbudin Husin
Sebuah portal berita semalam melaporkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dijangka akan membuat rombakan kabinet secara besar-besaran dalam masa terdekat ini.
Laporan yang dibuat dengan memetik sumber daripada Jabatan Perdana Menteri itu menyebut, selain melakukan rombakan kabinet, Anwar juga dikatakan mahu menukar Ketua Setiausaha beberapa kementerian.
Di samping rombakan kabinet dan menukar Ketua Setiausaha, Anwar turut dilaporkan akan menyusun semula anggota birokrasi dan kakitangan penting perkhidmatan awam, malah juga pegawai-pegawai di pejabatnya sendiri.
Semua rombakan atau perubahan itu dikatakan sudah sampai masanya untuk dilakukan bagi memantapkan lagi kedudukan kerajaan berikutan selesainya PRN enam negeri, disusuli sokongan terbuka GPS kepada Anwar sehingga habis penggal yang sekaligus bererti kerajaan perpaduan ini akan terus stabil sehingga 2027 akan datang.
“Perdana menteri kini fokus untuk memantapkan lagi kerajaan agar berfungsi lebih berkesan melaksanakan dasar-dasar utama seperti RMK12 (Rancangan Malaysia Ke-12), pembentangan Bajet 2024 pada Oktober, polisi tenaga dan menurunkan kos sara hidup rakyat,” kata sumber tersebut.
Setelah hampir setahun terbentuknya kerajaan perpaduan, berita rombakan kabinet ini adalah berita yang amat menggembirakan buat para penyokong PH di seluruh negara.
Selama ini begitu banyak boleh didengar rungutan dan rasa tidak puas hati penyokong bawahan ini terhadap beberapa menteri yang gagal dalam peranan mereka.
Meskipun dibatasi dengan pilihan yang terhad di kalangan Ahli-Ahli Parlimen untuk diangkat sebagai menteri, tetapi ramai berharap agar Anwar tidak takut menukar atau menggugurkan beberapa menteri yang dilihat lemah dan tidak berfungsi sepanjang 10 bulan beliau menerajui kerajaan ini.
Tidak terkecuali, perbualan juga sudah merata di kalangan penyokong PKR dan PH sendiri yang mahu Anwar segera menukar lain-lain lantikan yang mengetuai agensi, jabatan atau unit yang penting, seperti Jkom misalnya.
Untuk kerajaan ini lebih menyerlah, selain merombak kabinet, apa yang dirasakan perlu, malah sangat perlu diberi perhatian oleh Perdana Menteri ialah berkaitan komunikasi, penyampaian maklumat kepada rakyat dan menangkis segala macam serangan serta fitnah pembangkang yang dilihat kian ekstrem kebelakangan ini.
Selain pasukan media sosial perlu diurus dengan lebih baik lagi, keberkesanan media arus perdana juga amat perlu dipertingkatkan lagi agar benar-benar berkesan dan menggerunkan pihak lawan.
Namun demikian, di samping rombakan kabinet dan kemudian diharapkan akan berlaku perubahan di peringkat agensi atau jabatan bawahannya selepas itu, terutama berdasarkan kecenderungan pengundi kakitangan awam ketika PRN enam negeri baru-baru ini, menyusun semula Ketua-Ketua Setiausaha kementerian sudah termasuk dalam kategori tidak boleh ditangguh-tangguh lagi.
Secara prinsipnya, walupun undi adalah rahsia dan seseorang itu bebas membuat pilihan, tetapi sebagai penjawat awam, mereka perlu bersama, menyokong dan sehati sejiwa dengan parti yang menerajui kerajaan semasa.
Kalau kerajaan diumpamakan seperti sebuah kereta, Perdana Menteri dan parti yang menjadi kerajaan adalah umpama pemandu dan pemegang seterengnya, manakala penjawat awam pula adalah enjin serta segala macam komponen yang menggerakkan kereta tersebut.
Ke mana hala tuju kereta adalah terletak di tangan pemandu yang memegang setereng menentukannya dan untuk memastikan perjalanan lancar menuju destinasi, enjin mesti sentiasa dalam keadaan baik.
Jika salah satu – pemandu atau enjin – tidak berfungsi atau tidak tahu peranan masing-masing yang harus saling membantu itu, kereta boleh jadi akan masuk ke dalam gaung.
Dalam kedaaan negara sekarang, kita boleh dikata sudah memiliki pemandu atau Perdana Menteri yang baik, ada hala tuju serta wawasan yang jelas ke mana kereta ini mahu dibawanya.
Dengan itu, enjin mesti membantu dan tidak seharusnya selalu meragam atau buat hal di tengah jalan.
Dan jangan lupa, bagi memastikan kereta dapat berjalan dengan baik serta sampai ke destinasi dalam sasaran waktu yang telah ditetapkan, adalah menjadi kuasa dan pilihan pemandu untuk menukar mana-mana komponen enjin yang tidak berfungsi dengan gantian yang lebih baik.
Dalam hal ini, sebelum Anwar berdepan kerosakan enjin dan agar kereta yang dipandunya tidak selalu meragam, menyusun serta menukar mana Ketua-Ketua Setiausaha kementerian dengan yang sealiran dengan jiwa pemenang setereng adalah suatu keperluan.
Hanya dengan menukar Ketua Setiausaha yang merupakan komponen utama dalam enjin terlebih dahulu, barulah boleh dipastikan penjawat awam secara keseluruhannya atau lain-lain komponen dalam enjin juga tidak sangkut dan sentiasa bersama dengan aspirasi kerajaan semasa yang sedang berkuasa.
Jika tidak dilakukan segera, kerajaan bukan saja tidak mampu berfungsi dengan baik dalam khidmatnya kepada rakyat, malah akan sentiasa gagal dan seterusnya potensi untuk menang lagi dalam PRU akan datang akan tipis dengan sendirinya. – ShahbudinHusin 24/09/2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan