Agensi
SONYA McKnight. FOTO Facebook Sonya McKnight
Harrisburg, Amerika Syarikat: Hakim di Pennsylvania, baru-baru ini, didakwa menembak bekas teman lelakinya selepas mangsa mahu memutuskan hubungan mereka.
Hakim itu didakwa dengan cubaan membunuh tahap pertama dan melakukan serangan kerana didakwa menembak bekas teman lelakinya di kepala semasa mangsa tidur, lapor New York Post.
Menurut afidavit kes, kejadian itu berlaku pada 9 Februari di sebuah rumah di Harrisburg, selepas mangsa, Michael McCoy, cuba memutuskan hubungan selama setahun dengan Sonya McKnight.
Polis menyatakan, McCoy, 54, mencuba berkali-kali untuk meminta McKnight berpindah selepas dia menamatkan hubungan mereka yang terjalin selama setahun.
Katanya, pada 9 Februari, lelaki itu pulang dari sebuah restoran dan memberitahunya dia merancang untuk mendapatkan bantuan ibu McKnight untuk membawa wanita itu keluar dari rumah.
"Michael McCoy menyatakan seolah-olah dia akhirnya memahami ia (hubungan mereka) berakhir.
"Dia kemudian tidur kira-kira 11 malam tetapi terbangun selepas sakit kepala yang menyebabkan dia menjerit dan panik.
"Jeritannya menyedarkan McKnight ke biliknya, yang bertanya kepadanya, Mike, apa yang awak buat pada diri sendiri?" kata polis.
Wanita itu kemudian menghubungi 911 untuk melaporkan kecederaan McCoy.
Polis berkata, semasa panggilan itu, McKnight tidak dapat menjelaskan apa yang berlaku dan menyatakan dia sedang tidur dan terbangun selepas mendengar mangsa menjerit.
"Doktor di hospital memberitahu, mangsa mengalami luka tembakan di pelipis kanan yang menyebabkan dia buta sebelah mata.
"Namun, McCoy memberitahu polis di tempat kejadian dan di hospital dia tidak menembak dirinya sendiri," katanya.
Polis berkata, bukti fizikal menunjukkan, mangsa ditembak pada jarak kira-kira 0.30 meter, dengan McKnight diuji positif untuk sisa tembakan di tangannya dalam masa sejam selepas tembakan.
Dia ditangkap pada 15 Februari sebelum didakwa dengan cubaan membunuh tahap pertama.
Dia digantung tugas sebagai hakim di Daerah Dauphin, jawatan yang dipegangnya sejak 2016.
Sebelum ini, McKnight juga digantung tanpa gaji oleh Mahkamah Tatatertib Kehakiman, yang mengendalikan dakwaan salah laku terhadap hakim.
Dia kini ditahan di Penjara Daerah Dauphin dengan jaminannya ditetapkan pada AS$300,000 (RM1.43 juta).
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan