"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Memperjudikan nyawa penumpang dengan membenarkan pemandu tiada lesen memandu bas

Pemandu bas tiada lesen, perjalanan pelancong tertangguh

Pemandu yang ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan semalam itu memberi alasan mahu membantu syarikat abangnya yang mengalami masalah kekurangan pemandu.

Bernama
Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan Lokman Jamaan (kanan) menahan seorang pemandu bas persiaran yang tidak memiliki lesen memandu ketika Ops Tahun Baharu Cina (TBC) 2024 di Plaza Tol Kemuning arah Kuala Lumpur/Shah Alam semalam. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM: Perjalanan sebuah bas persiaran menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tertangguh kira-kira sejam apabila pemandunya ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Kemuning, di sini semalam kerana tidak mempunyai lesen memandu.

Pemandu lelaki berusia 33 tahun itu antara individu ditahan menerusi Ops Tahun Baharu Cina 2024 yang dijalankan pihak JPJ.

Ketika ditahan, dia sedang membawa 11 penumpang tempatan dari Bandar Puteri, Klang menuju KLIA dan memberi alasan mahu membantu syarikat bas abangnya yang mengalami masalah kekurangan pemandu.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Lokman Jamaan, berkata pihaknya mengeluarkan kompaun terhadap pemandu itu dan bas berkenaan kemudian dibenarkan meneruskan perjalanan selepas pemandu gantian tiba.

“Memandu tanpa lesen ini, jika apa-apa berlaku tidak boleh buat tuntutan insurans. Bahaya… lebih-lebih lagi membawa pelancong,” katanya kepada pemberita.

Mengulas mengenai penubuhan pasukan khas khusus bagi mengendalikan kes kenderaan berat melebihi had muatan, beliau berkata sebanyak 60 sitaan dibuat sejak mula dikuatkuasakan enam bulan lepas.

“Semua kes sitaan itu sudah didakwa di mahkamah dan dalam proses untuk mendapatkan perintah lucut hak,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan melaksanakan operasi khas kenderaan berat yang melebihi had muatan fasa dua selepas perayaan Tahun Baharu Cina.

Dalam pada itu, Lokman berkata setakat lapan hari Ops Tahun Baharu Cina 2024 dijalankan di seluruh negara pihaknya merekodkan 57,110 notis atas pelbagai kesalahan dengan sebanyak 243,257 kenderaan diperiksa.

“Berdasarkan analisis awal data operasi ini dalam tempoh lapan hari, kami mendapati tahap kesedaran dan pematuhan peraturan berada pada tahap rendah dan tidak memuaskan untuk keselamatan pengguna jalan raya terutamanya membabitkan kenderaan komersial,” katanya.

Tiada ulasan: