"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saksi paling dinanti-nantikan dalam kes 1MDB bakal beri keterangan minggu depan

SITI NUR ZAWANI
Jasmine Loo Ai Swan, saksi yang paling dinanti-nantikan dalam perbicaraan rasuah Datuk Seri Najib Razak membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB, dijangka memberi keterangan minggu depan.

Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu akan dipanggil pada 13 Februari, untuk bersiap sedia sekiranya saksi yang sedang memberi keterangan iaitu Superintenden Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin dapat menghabiskan keterangan pada hari itu.

“Loo dikehendaki bersiap sedia dan jika Aida dapat menghabiskan keterangannya pada hari itu (13 Feb), kami akan meneruskannya,” kata Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib di hadapan hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Nur Aida, yang juga saksi pendakwaan ke-49, sepatutnya meneruskan keterangannya hari ini, bagaimanapun beliau tidak hadir kerana sakit dan mendapat sijil cuti sakit selama dua hari.

Pada 16 November tahun lepas, mahkamah mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-48 iaitu Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram ACP Foo Wei Min yang memaklumkan bahawa Loo adalah saksi penting dan akan mendedahkan semua isu berkaitan Tanore Finance Corporation, entiti yang memindahkan wang US$681 juta ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Pada 7 Julai 2023, Loo menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Loo, yang menjadi buruan selepas kejatuhan kerajaan Barisan Nasional semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018, kini berada di bawah perlindungan saksi polis selepas dia ditahan pada 23 Julai tahun lalu.

Nama Loo telah dipaparkan dengan jelas dalam perbicaraan yang sedang berjalan, dengan beberapa saksi memberi keterangan tentang peranannya sebagai proksi untuk ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan itu berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Tiada ulasan: