"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Entahkan hidup, entahkan mati

AFP
HIND Rajab. FOTO AFP
HIND Rajab. FOTO AFP
Rafah: Menyedihkan kerana kali terakhir kisah Hind Rajab yang berusia enam tahun didengar adalah ketika dia dikelilingi saudara-mara yang maut, dan terperangkap di dalam kereta keluarganya yang diserang di Bandar Gaza.

"Dia ketakutan, dan cedera di belakang (badan), tangan dan kakinya," kata datuknya, Baha Hamada, iaitu individu terakhir bercakap dengan anak kecil itu melalui telefon.

"Dia terus meminta saya untuk datang mendapatkannya," tambah Hamada sambil menangis apabila mengenangkan panggilan yang menyayat hati itu.

Gaza musnah akibat perang antara Israel dan pejuang Hamas sejak hampir empat bulan lalu. Mayat mereput di jalanan dan di bawah bangunan yang dibom di wilayah itu.

Sebahagian besar Bandar Gaza itu 'terputus' daripada selatan Gaza, selepas wilayah itu dikepung selama berminggu-minggu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berulang kali menyatakan kesukaran untuk melaksanakan kerja bantuan untuk ratusan ribu orang yang dianggarkan kekal di utara Semenanjung Gaza.

Ketika kejadian, Hind bersama abang Hamada iaitu Bashar, kakak ipar kepada Bashar dan anaknya yang lain. Mereka di dalam kereta ketika cuba melarikan diri daripada menghampiri tentera Israel di kawasan Tel al-Hawa, Gaza, lebih seminggu lalu.

Bagaimanapun, Hamada berkata, perjalanan mereka berakhir di laluan kereta kebal Israel dan kenderaan dinaiki mereka itu ditembak.

Hamada pada mulanya dapat menghubungi anak Bashar, Layan, yang memberitahunya bahawa ibu bapanya dan tiga adik lelakinya terbunuh, dan dia dan Hind, masih hidup.

"Kami cuba menenangkannya dan memberitahu kami akan menghubungi ambulans," kata lelaki berusia 58 tahun itu.

Apabila penyelamat dari Bulan Sabit Merah Palestin bercakap dengan Layan yang berusia 15 tahun melalui telefon, panggilan terputus dan kedengaran bunyi seperti tembakan.

Kedua-dua Hamada dan organisasi itu berkata, Layan terbunuh dalam kejadian berkenaan.

"Semasa ambulans menuju ke sana, ibu Hind bercakap dengannya melalui telefon. Gadis itu memberitahu ibunya bahawa dia dapat melihat ambulans, ibunya mendengar bunyi pintu kereta dibuka, kemudian terputus sambungan," kata Hamada kepada AFP.

Sejak dari itu, mereka tidak mendengar khabar daripadanya atau kru ambulans Bulan Sabit Merah yang dikerahkan untuk menyelamatkan kanak-kanak terbabit.

Isnin lalu, Bulan Sabit Merah menerusi media sosial berkata, nasib pasukan itu, "Yousef Zeino dan Ahmed al-Madhoon, yang pergi menyelamatkan Hind Rajab berusia enam tahun, masih tidak diketahui selepas tujuh hari".

Tiada ulasan: