"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kiriman wang ke Indonesia, Bangladesh meningkat ketara menjelang Aidilfitri

BERNAMA
Merchantrade membina infrastruktur yang kukuh untuk memastikan transaksi kiriman wang yang lancar.
Merchantrade membina infrastruktur yang kukuh untuk memastikan transaksi kiriman wang yang lancar.
KUALA LUMPUR: Menjelang sambutan Aidilfitri, transaksi kiriman wang dari Malaysia ke negara yang mempunyai lebih ramai penduduk Islam seperti Indonesia dan Bangladesh mencatat peningkatan ketara, memperlihatkan hasrat untuk berhubung dengan orang tersayang sebelum perayaan bermula.

Pengendali perniagaan perkhidmatan wang terbesar di Malaysia, Merchantrade Asia Sdn Bhd merekodkan transaksi kiriman wang lebih setengah bilion ringgit sepanjang Ramadan tahun lalu dan trend itu dijangka berterusan pada tahun ini.

Menurut Research and Market, pasaran kiriman wang masuk antarabangsa di Malaysia meningkat 2.9 peratus pada 2022 untuk mencapai AS$1.63 bilion (RM7.75 bilion) pada 2023.

Pasaran kiriman wang keluar antarabangsa di Malaysia turut menokok sebanyak 2.1 peratus pada 2022 untuk mencapai AS$8.94 bilion (RM42.44 bilion) pada 2023.

Katanya, sepanjang tempoh ramalan (2023-2028) ini, saiz pasaran dijangka mencatat kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 1.7 peratus, meningkat daripada AS$8.76 bilion pada 2022 untuk mencapai US$9.72 bilion menjelang 2028.

Menurut laporan itu, pasaran kiriman wang global bernilai AS$738.62 bilion pada 2023 dan dijangka mengunjurkan pertumbuhan kukuh dalam tempoh ramalan dengan CAGR 5.78 peratus hingga 2029, mencecah AS$1.031 trilion.

Pengarah Urusan Merchantrade Asia, Ramasamy K. Veeran, berkata Merchantrade telah membuat pelaburan dan membina infrastruktur yang kukuh untuk memastikan transaksi yang lancar.

Dengan 95 cawangan dan lebih 480 lokasi ejen di seluruh negara, kaedah titik sentuh fizikal Merchantrade adalah lengkap untuk menyokong jumlah pelanggan yang semakin meningkat.

"Sebagai persediaan, cawangan Merchantrade masih dibuka pada hujung minggu, dengan sumber tambahan yang dimanfaatkan ke cawangan utama untuk mengendalikan kedatangan ramai pelanggan pada hujung minggu.

"Ini merupakan waktu penting untuk pelanggan Islam kami di seluruh negara, dan kami gembira dapat membantu mereka," katanya kepada Bernama sambil memaklumkan permintaan yang meningkat di cawangan Merchantrade di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh, Pulau Pinang dan Inanam, Sabah.

Walaupun cawangan ini terletak strategik di kawasan yang ramai penduduk migran, Merchantrade turut menguruskan cawangan di kawasan luar bandar untuk menyediakan akses mudah kepada perkhidmatan kiriman wang memandangkan penyedia perkhidmatan kiriman wang rasmi yang terhad.

Dengan beroperasi menerusi model hibrid, syarikat itu telah melabur lebih awal untuk membina platform dalam talian yang selamat serta mendidik pelanggan mengenai kaedah menggunakannya.

Antara platform digital syarikat itu yang memenangi anugerah untuk pemindahan kiriman wang yang mudah, selamat dan pantas adalah Merchantrade Money (e-dompet berasaskan kad dan Kad Prabayar Visa), Valyou (e-dompet berasaskan rangkaian) dan eRemit Malaysia (perkhidmatan pindahan wang digital sepenuhnya).

"Kebolehcapaian ini penting kepada pelanggan melibatkan pelbagai industri antaranya pembinaan, perladangan dan pembuatan, yang kebanyakannya tinggal dan bekerja di kawasan terpencil atau luar bandar di seluruh Malaysia.

"Selalunya, mereka terpaksa membuat perjalanan yang jauh, malah mengambil sehari cuti bekerja untuk mengunjungi penyedia perkhidmatan kiriman wang rasmi yang terdekat.

"Dengan platform kiriman wang digital Merchantrade, mereka kini boleh menghantar wang ke negara mereka dengan mudah kepada yang tersayang tanpa perlu keluar rumah," kata Ramasamy.

Beliau berkata, pada 2023, kiriman wang digital melalui saluran berkenaan menyaksikan peningkatan ketara hampir 20 peratus bulan ke bulan terutama pada Mac menjelang Syawal, dengan yang tertinggi adalah Bangladesh dan Indonesia.

Memandangkan Malaysia telah menjadi tempat tinggal kepada lebih dua juta pekerja asing yang mempunyai dokumen dari negara jiran, yang menyaksikan Indonesia dan Bangladesh mempunyai populasi migran terbesar di negara ini, terdapat keperluan penting untuk membantu golongan ini menyara keluarga di negara mereka.

Sebagai penyedia utama pendapatan, kiriman wang yang dihantar ini dimanfaatkan untuk keperluan seperti makanan, penyelenggaraan isi rumah, pakaian, penjagaan kesihatan, pendidikan dan pembayaran balik pinjaman.

Ramasamy turut menekankan mengenai keperluan untuk membantu pelanggan berhubung dengan keluarga mereka, terutama pada musim perayaan.

"Kami berbangga menjadi jenama yang dipercayai untuk pelanggan menghantar wang ke negara mereka dalam waktu yang sibuk ini. Menjadi tanggungjawab kami untuk memastikannya sampai kepada keluarga mereka tepat pada masanya," kata Ramasamy.

Peranan Merchantrade adalah menjangkau pemudahan transaksi kiriman wang dalam jumlah besar memandangkan turut berperanan sebagai 'sistem penghantaran di peringkat akhir' yang penting, menghubungkan dan membantu keluarga merentas jarak geografi.

Beliau berkata, melalui rangkaian meluas rakan kongsi global, syarikat telah menjalinkan perkongsian langsung dengan entiti utama, yang terdiri daripada lebih 70 rakan kongsi pembayaran, dengan lebih 40 daripadanya adalah bank yang telah dikenali.

Merchantrade sentiasa mewujudkan perkongsian dengan pihak yang sehaluan dengan mereka, yang memahami kepentingan setiap wang yang dikirimkan, katanya.

Melalui misi untuk memperkasa kehidupan pelanggan, perkhidmatan kiriman wang Merchantrade telah muncul sebagai penghubung penting, terutama semasa perayaan Aidilfitri.

Dengan menyediakan akses mudah dan transaksi selamat, Merchantrade memastikan semangat kebersamaan dan murah hati yang merentas sempadan geografi, membolehkan keluarga menyambut Syawal dengan gembira.

-BERNAMA

Tiada ulasan: