Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
Ipoh: Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasat berhubung penemuan mayat suaminya dalam sebuah rumah yang belum siap dibina di Tanjung Rambutan, di sini pagi semalam, disyaki kerana dibunuh.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahamad, berkata penemuan mayat lelaki berumur 25 tahun itu diterima dari orang awam jam 10.03 pagi semalam.
Menurutnya, orang awam memaklumkan mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.
"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa adalah warga asing dan kematian diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) susulan tiada unsur jenayah ditemukan pada mangsa dan tempat kejadian.
"Bagaimanapun hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di kepala yang disebabkan oleh trauma objek tumpul
"Pemeriksaan juga mendapati keseluruhan anggota badan mangsa dipenuhi kesan lebam baharu selain kesan cekik pada leher.
"Justeru kes diklasifikasi semula dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh," katanya.
Oleh itu, katanya, tangkapan dibuat terhadap seorang wanita warga asing berusia 37 tahun semalam.
"Wanita itu adalah isteri mangsa dan ditahan bagi membantu siasatan.
"Siasatan kes sedang dijalankan dan keterangan saksi yang terbabit akan dirakam percakapan mereka," katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.
Katanya lagi, sehubungan itu, polis meminta orang ramai
yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Asisten Superintendan Chua Sze Yuan di talian 012-6195312 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan