"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

193 juta penduduk Indonesia 'mudik' pada Aidilfitri tahun ini

Agensi
PENUNGGANG motosikal menunggu untuk menaiki feri di Banten, Pulau Jawa  untuk pulang berhari raya di Sumatera. FOTO AFP
PENUNGGANG motosikal menunggu untuk menaiki feri di Banten, Pulau Jawa untuk pulang berhari raya di Sumatera. FOTO AFP
Jakarta: Indonesia mencatatkan rekod kepulangan perantau teramai di dunia sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, apabila 193 juta orang dijangka meninggalkan ibu kota untuk menyambut hari raya.

Arab News melaporkan, 'mudik' atau kepulangan beramai-ramai di negara majoriti Muslim yang berjumlah 270 juta orang itu, adalah salah satu pergerakan manusia terbesar di dunia, dengan perantau mengharungi kesesakan yang lama, ribuan kilometer dan keletihan untuk pulang ke rumah.

Lebih 123 juta orang direkodkan pulang ke kampung pada 2023, 40 juta lebih daripada angka dicatatkan pada 2022.

Tahun ini, jumlah itu jauh lebih tinggi, menurut anggaran Kementerian Pengangkutan Indonesia.

"Hasil tinjauan menunjukkan 71.7 peratus penduduk Indonesia merancang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan bermudik ke kampung halaman masing-masing, iaitu kira-kira 193.6 juta," kata jurucakap polis Trunoyudo Wisnu Andiko memberitahu Arab News.

"Sudah tentu ia adalah yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya," katanya.

Jakarta yang terkenal dengan kesesakan lalu lintas, mulai lengang pada hujung minggu lalu apabila banyak perniagaan ditutup.

Dalam pada itu, keluarga yang bergantung kepada pembantu domestik, mendaftar masuk ke hotel di ibu negara kerana pembantu rumah dan pemandu mereka pulang ke kampung.

Kebanyakan mereka pulang ke kampung dengan menaiki kereta, motosikal, kereta api dan bas dan lebih 155,000 anggota keselamatan dikerahkan untuk mengawasi keselamatan pengguna jalan raya.

Trafik mula memuncak pada hujung minggu lalu.

"Kami mengerahkan 155,165 anggota bersama tentera Indonesia, polis daerah, kementerian dan institusi berkaitan, serta pihak berkepentingan lain," kata Andiko.

"Pihak berkuasa juga menyediakan helikopter tentera untuk membantu memindahkan mangsa sekiranya berlaku insiden trafik.

"Bagi insiden yang memerlukan tindakan segera, Ketua Polis Negara memberi arahan untuk memastikan dua unit helikopter bersedia jika pemindahan diperlukan di sepanjang laluan Trans-Jawa," kata Andiko merujuk kepada rangkaian lebuh raya sepanjang 1,167 kilometer di sepanjang Pulau Jawa.

Setiap tahun, ratusan rakyat Indonesia maut di jalan raya ketika mudik pada musim Aidilfitri.

Hampir 6,000 kemalangan direkodkan tahun lalu, meragut sekurang-kurangnya 726 nyawa.
-hmetro 

Tiada ulasan: