Malaysiakini
Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh menafikan kempen boikot yang dicadangkannya sebagai punca ekonomi negara semakin teruk.
Sebaliknya, dia berkata, ia adalah kerana menteri "bodoh" seperti Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, kata Akmal dalam satu hantaran di Facebook.
“Dulu zaman Najib Razak kita buat je kempen boikot,tetapi ekonomi tetap naik dengan baik,” katanya.
Semalam, Nga membuat hantaran di X mengatakan bahawa pekerja tempatan sedang menanggung sengsara akibat boikot yang dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Jangan sekali masuk dalam perangkap penghasut, negara kita memerlukan usaha semua pihak untuk membangunkan ekonomi negara, kata Nga.
Dia turut memuat naik tangkapan skrin daripada laporan media Cina dalam ciapan tersebut.
Akmal sebelum ini telah membuat gesaan supaya orang ramai memboikot kedai serbaneka KK Mart susulan dikesan beberapa cawangan kedai itu menjual stoking yang tertera kalimah Allah.
Dia juga mengajak orang ramai untuk memboikot produk keluaran syarikat selebriti dan usahawan kosmetik Aliff Syukri yang mengeluarkan video pendek lagu raya yang dilihat keterlaluan terutama di tengah bulan Ramadan.
Berikutan itu, KK Mart mengeluarkan permohonan maaf kepada semua pelanggannya, khususnya masyarakat Islam, dan mengesahkan bahawa tindakan segera telah diambil untuk menghentikan penjualan stoking berkenaan.
Namun keadaan terus hangat sehingga mengakibatkan percubaan mengebom KK Mart cawangan di Bidor, Perak, dakwaan ugutan membakar kilang pembekal KK Mart Xin Jian Chang Sdn Bhd di Muar, Johor dan Akmal sendiri berdepan ugutan bunuh dibuat terhadapnya.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kemudiannya campur tangan dan menyeru semua pihak supaya berhenti mengambil kesempatan terhadap isu itu, sambil bertitah perkara tersebut diserahkan kepada pihak berkuasa.
Tetapi, Akmal sebaliknya mempersoalkan sama ada Seri Paduka secara khusus meminta agar kempen boikot dihentikan.
Sebelum ini Akmal pernah bertikam lidah dengan Nga berhubung perkara itu.
Nga menggesa Akmal supaya berhenti menghasut sentimen perkauman dan agama kerana ia mungkin menjadi masalah kepada Umno.
"Kalau kamu kata mempertahankan kalimah Allah dengan memboikot KK Mart itu hasutan, teruskan bro!" kata Nga.
"(Saya) tidak takut langsung. Prinsip Umno adalah untuk mempertahankan Islam, bumiputera dan kerabat diraja Melayu, dan ini tidak akan berubah. Itu yang Pemuda Umno akan pegang sehingga mati," balas Akmal.
Pada 9 April lalu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima mengadap pimpinan kanan parti Umno dan DAP di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Mereka yang hadir adalah Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan; Pengerusi Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh; Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong dan Akmal sendiri.
Seri Paduka juga mengingatkan pemimpin politik supaya tidak melampau dalam memberikan pandangan mereka tentang isu-isu agama dan perkauman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan