‘Magis’ Fauzi cipta lagu raya 5 minit, popular hampir 4 dekad
Mohamad Fadli
Fauzi Marzuki memulakan perjalanan seni hampir lima dekad lalu dengan artis pernah mendapat ‘sentuhannya’ termasuk Siti Nurhaliza, Sharifah Aini, Sudirman, Anita Sarawak dan Francissca Peter.
AMPANG: Dikurniakan bakat besar sebagai komposer dan penulis lirik, Fauzi Marzuki mampu menghasilkan sebuah lagu hanya dalam masa lima minit seperti Selamat Berhari Raya nyanyian Rahimah Rahim yang sering diputarkan ketika Aidilfitri sejak hampir empat dekad lalu.
Lagu berentak pop dikeluarkan pada 1989 itu terus dimainkan di corong radio atau menghiasai rumah terbuka hari raya, ia menceritakan kegembiraan menyambut Aidilfitri sambil menasihati tidak melupakan individu sedang berduka kehilangan insan tersayang.
Di sebalik kesohorannya yang setanding lagu raya popular lain seperti Balik Kampung nyanyian Sudirman, Dendang Perantau (P Ramlee) dan Satu Hari Di Hari Raya (M Nasir), Fauzi mendedahkan lagu itu cepat dicipta kerana beliau dapat membayangkan gaya suara Rahimah.
Fauzi sering meletakkan syarat mahu mengenali penyanyi terutamanya cara nyanyiannya untuk menghasilkan melodi serta lirik terbaik dan mengeluarkan karya menjadi “lagu biasa-biasa” sahaja.
“Setiap lagu saya cipta khas untuk penyanyi tertentu kalau untuk Jamal Abdillah memang untuk beliau, tak pernah saya ambil dari laci (lagu telah siap) beri penyanyi tertentu.
“Untuk lagu Selamat Berhari Raya, saya petik gitar sekejap sahaja. Bagi saya buat lagu ini sekejap sahaja.
“Lagu itu mungkin lima minit. Kita ada bakat (yang) tuhan bagi bila pegang alat muzik, (ilham lirik dan melodi) lagu itu keluar,” katanya kepada FMT mengimbau semula pengalamannya menghasilkan lagu Selamat Berhari Raya.
Dua lagu raya hasil ciptaannya yang lain adalah Setahun Sekali (Amy Mastura) dan Ku Pulang Setiap Raya (Ayai Ilusi).
Berusia 69 tahun, Fauzi memulakan perjalanan seni hampir lima dekad lalu dengan menyertai kumpulan Chandran Gutta sebelum menjadi gitaris kumpulan Discovery pada usia 19 tahun yang menyerlahkan bakatnya dalam bidang rakaman serta penerbitan lagu.
Antara artis pernah mendapat sentuhannya termasuk Siti Nurhaliza, Sharifah Aini, Sudirman, Anita Sarawak, Francissca Peter, Sheila Majid, Jamal, Shima dan Rahimah.
Beliau juga pernah merakamkan lagu untuk beberapa artis Malaysia EMI Capitol Studios di Los Angeles, Abbey Road Studio di London dan Toshiba EMI di Tokyo ketika menjadi pengurus artis dan repertoir (A&R) di EMI Malaysia dari 1983 hingga 1992.
Sepanjang pembabitannya, beliau memenangi pelbagai anugerah berprestij seperti Anugerah Juara Lagu, Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) dan Pujaan 10 Nescafe.
Tidak lagi mencipta atau menggubah lagu, Fauzi berkata kini tiba masa generasi baru menghasilkan karya segar dan mencabar penggiat seni zaman moden setanding lagu “evergreen” ciptaan orang lama sepertinya.
“Saya sudah buat lagu bukan sahaja sesuai dengan zaman saya tetapi sehingga sekarang.
“Saya rasa puas. Lagu itu bukan zaman sekarang sahaja tetapi masa akan datang. Saya rasa sampai anak, cucu kamu pun akan main lagu itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan