"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hasrat beli baju raya anak tak kesampaian, suami isteri rentung nahas

Bernama
SEREMBAN: Hasrat sepasang suami isteri membeli baju raya empat anaknya tidak kesampaian selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan di Jalan Bukit Mantin menghala ke Seremban, pagi tadi.

Hasmadi Ahmad, 56, berkata anak perempuannya Noor Azeana Azreen dan menantu, Abdul Halim Mat Rani, dalam perjalanan dari rumah mereka di Beranang ke rumah keluarga di Seremban untuk mengambil anak-anaknya bagi membeli kelengkapan menyambut Aidilfitri.

“Saya ada hubungi anak perempuan saya semalam, dia beritahu hari ini mahu beli baju raya anak-anaknya hari ini. Cucu-cucu saya ini empat orang masih kecil, berusia dari 12 tahun hingga tiga tahun…kami mendapat berita tentang kemalangan ini pagi tadi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di bahagian Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).

Beliau berkata, anak dan menantunya itu bercadang menyambut Aidilfitri kali ini di Rembau, iaitu kampung mentuanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Nilai Mat Ghani Lateh, berkata berlaku satu kebakaran melibatkan sebuah kenderaan jenis BMW yang terbakar 100%, akibat bertembung dengan sebuah lori milik syarikat pembersihan swasta.

Beliau berkata, pada kejadian 10.25 pagi tadi, berlaku nahas di jalan Bukit Mantin menghala ke Seremban melibatkan dua mangsa, seorang lelaki berusia 34 tahun bersama seorang wanita umur 32 tahun.

“Siasatan awal mendapati semasa kejadian pemandu kereta jenis BMW yang dalam perjalanan itu ingin memotong kenderaan di hadapannya sebelum hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan, sebelum bertembung dengan lori jenis Isuzu hingga mengakibatkan kereta tersebut terbakar.

“Akibat daripada kemalangan ini, pemandu dan penumpang kereta itu tersepit di dalam kereta didapati telah rentung dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemandu lori tersebut mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan kepala. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

Tiada ulasan: