"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahli keluarga terkaya Britain dihukum penjara

AFP
NAMRATA Hinduja (kiri) dan Ajay Hinduja (dua dari kanan) tiba di mahkamah di Geneva, pada 21 Jun lalu. FOTO AFP
NAMRATA Hinduja (kiri) dan Ajay Hinduja (dua dari kanan) tiba di mahkamah di Geneva, pada 21 Jun lalu. FOTO AFP
Geneva: Mahkamah Switzerland menjatuhkan hukuman penjara kepada empat ahli keluarga terkaya Britain kerana mengeksploitasi kakitangan India di rumah agam mereka di Geneva.

Ahli keluarga Hinduja yang tidak hadir di mahkamah, dibebaskan daripada dakwaan pemerdagangan manusia, tetapi disabitkan dengan pertuduhan lain.

Kekayaan keluarga itu dianggarkan berjumlah AS$47 bilion (kira-kira RM221 bilion).

Prakash Hinduja dan isterinya, Kamal Hinduja masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun enam bulan penjara, manakala anak lelaki mereka, Ajay dan isterinya, Namrata menerima hukuman penjara empat tahun, kata hakim di Geneva.

Peguam bagi ahli keluarga Switzerland-India itu berkata, mereka akan merayu keputusan berkenaan.

Kes itu berpunca daripada amalan keluarga itu yang membawa individu dari India untuk bekerja dengan mereka, namun merampas pasport individu terbabit sebaik tiba di Switzerland.

Mahkamah diberitahu, keluarga Hinduja membayar pekerja mereka dengan gaji rendah dan memberi sedikit kebebasan untuk individu terbabit meninggalkan rumah.

Pembantu rumah dikatakan dibayar gaji antara AS$250 hingga AS$450 sebulan (kira-kira RM1,178 hingga RM2,120 sebulan), jauh daripada apa yang mereka jangkakan untuk peroleh di Switzerland.

Pendakwa Raya, Yves Bertossa juga menuduh keluarga Hinduja membelanjakan "lebih banyak untuk anjing mereka daripada pekerja domestik mereka".

Keluarga itu menafikan dakwaan berkenaan.

Sebelum ini, keluarga Hinduja mencapai penyelesaian sulit di luar mahkamah dengan tiga pekerja yang membuat tuduhan terhadap mereka.

Namun, pihak pendakwaan memutuskan untuk meneruskan kes itu kerana pertuduhan terbabit adalah serius.

Terdahulu, Bertossa meminta hukuman penjara lima tahun setengah terhadap Prakash dan Kamal Hinduja.

Berumur 78 dan 75 tahun, kedua-duanya tidak hadir sejak permulaan perbicaraan atas alasan kesihatan.

Dalam ucapan penutupnya, pendakwa raya menuduh keluarga itu menyalahgunakan situasi tidak simetri antara majikan dan pekerja, untuk menjimatkan wang.

Dengan kepentingan dalam minyak dan gas, perbankan dan penjagaan kesihatan, Kumpulan Hinduja memiliki kepentingan dalam perniagaan di 38 negara dan menggaji kira-kira 200,000 orang.
-hmetro 

Tiada ulasan: