"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki lemas selepas terjun sungai selamatkan adik, anak saudara

Bernama

LAHAD DATU: Seorang lelaki lemas selepas terjun ke sungai untuk menyelamatkan adik dan anak saudaranya yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Sungai Dewata di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Lahad Datu, Dzulbaharin Ismail berkata, mangsa 33 tahun bersama keluarganya ke sungai itu untuk berkelah, sebelum adik serta anak saudaranya berumur 16 dan 10 tahun yang sedang mandi sungai tiba-tiba terkapai-kapai meminta tolong.

“Lelaki tersebut serta dua iparnya lantas terjun ke sungai dan adik serta anak saudaranya berjaya diselamatkan, namun mangsa tidak dilihat naik ke tebing dalam kejadian 11 pagi itu.

“Ibu mangsa yang menyedari perkara itu meminta tolong dua menantunya mencari mangsa yang kemudian ditemui dalam keadaan pucat dan tidak sedarkan diri. Ahli keluarga membawa mangsa ke Hospital Lahad Datu kira-kira 32km dari lokasi kejadian untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh petugas hospital pada 12.49 tengah hari dan laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas.

Dzulbaharin menasihatkan orang ramai tidak melakukan aktiviti riadah atau berkelah di sungai, khasnya pada musim hujan yang boleh menyebabkan paras air naik mendadak dan arus deras membahayakan keselamatan diri.

Tiada ulasan: