"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Retorik bermusim Annuar Musa: PAS bimbang kerjasama Umno-PH semakin diterima rakyat

Mohamad Fadli

PETALING JAYA: Kenyataan Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Annuar Musa perpaduan sebenar hanya wujud apabila PAS, Bersatu dan Umno bertaut kembali hanya retorik bermusim, kata penganalisis.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, sebaliknya PAS iaitu parti disertai Annuar kini bimbang kerjasama Umno dan Pakatan Harapan (PH) semakin diterima rakyat.

“PAS dilihat terdesak untuk mendapatkan sokongan memandangkan isu dalaman dan penurunan populariti semakin terserlah. Dengan mengajukan idea perpaduan, PAS cuba menutup kelemahan ini,” katanya kepada FMT.

Selasa lalu, Annuar berkata perpaduan sebenar hanya wujud apabila PAS, Bersatu dan Umno bertaut kembali dengan mengutamakan nasib bangsa, agama serta negara bukannya individu.

Annuar yang dipecat Umno pada Disember 2022 sebelum menyertai PAS berkata, beliau tidak pernah kecewa atau berputus asa dalam memperkukuhkan perpaduan politik Melayu dan menghidupkan konsep MN.

Dalam pada itu, Awang berkata ‘gesaan’ penyatuan tersebut mencerminkan pemimpin PAS terus menggunakan isu perpaduan sebagai alat politik tanpa menawarkan penyelesaian konkrit kepada masalah dihadapi rakyat.

Katanya, dalam konteks PRK Sungai Bakap, strategi itu nampaknya berfokus untuk memobilisasi undi Melayu dengan memperkuatkan naratif perpaduan.

Bagaimanapun, beliau berkata strategi Annuar yang meminta ketiga-tiga parti bersatu belum dipastikan keberkesanannya terhadap pengundi bukan Melayu, dan menjangkakan mereka tidak terpengaruh dengan retorik dimainkan timbalan pengarah pilihan raya PAS itu.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata mustahil untuk Umno bersatu semula bersama PAS dan Bersatu, berdasarkan kerjasama pernah dijalinkan ketika dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kenyataan supaya ketiga-tiga parti itu bertaut mungkin boleh makan diri sendiri. Sebab kita tahu kenapa perpecahan dalam MN sebelum ini,” katanya.

Umno dan PAS pernah bekerjasama bawah MN selepas PRU14 sebelum hubungan kedua-duanya tegang pada 2020.

Perkembangan itu apabila PAS menyertai PN diterajui Bersatu, sekali gus mahu parti serpihan Umno tersebut turut menyertai MN.

Umno membantah keras tindakan PAS itu kerana menganggap Bersatu pengkhianat yang berusaha ‘membunuhnya’.

Ketika ini, Umno menjadi sebahagian komponen kerajaan perpaduan diterajui Anwar Ibrahim selain PH, manakala PAS kekal di blok pembangkang bawah PN.

Tiada ulasan: