Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my
NOOR Danial Farhan menunjukkan bungkusan kertas diikat benang bersama paku yang ditemui di pusara datuknya, Allahyarham Tuan Guru Mohd Yassin Mohd. FOTO Ihsan Noor Danial Farhan Noor Firdaus Hilmi
Subang Jaya: "Tak rasa takut tapi sedih dan tertanya apa motif ia diletakkan di kubur datuk saya"
Itu reaksi pereka hiasan dalaman, Noor Danial Farhan Noor Firdaus Hilmi, 26, ketika diminta mengulas mengenai video penemuan objek misteri berupa bungkusan kertas diikat benang dengan paku di pusara datuknya, Allahyarham Tuan Guru Mohd Yassin Mohd yang juga bapa kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perkongsian video itu mendapat pelbagai reaksi warganet dan sehingga kini meraih hampir empat juta tontonan.
Bercerita lanjut, Noor Danial Farhan yang juga bapa kepada dua anak berkata, objek itu ditemui dekat dalam timbunan rumput dan tanah di pusara datuknya yang meninggal dunia pada 1975.
Katanya, ia disedari bapa saudaranya, Mohd Nasri Mohd Yassin, 54, ketika mereka sekeluarga menziarahi pusara di Tanah Perkuburan Islam Bakri Batu 1 Muar, Johor pagi semalam.
"Selepas solat sunat Aidiladha, kira-kira jam 9.30 pagi semalam, saya bersama isteri, emak dan pak cik (bapa saudara) pergi ziarah kubur datuk.
"Kali terakhir saya pergi Aidilfitri lalu dan semalam ambil kesempatan untuk ziarah.
"Sampai di kubur, pak cik nampak ada objek berkenaan jadi baca bismillah, al-Fatihah dan selawat sebelum alihkan.
"Kami tak buka pun bungkusan itu jadi tak tahu apa isi di dalamnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Noor Danial Farhan berkata, objek sama juga ditemui di pusara nenek, ibu dan bapa saudara serta tok guru datuknya.x
"Kami jumpa objek itu di tujuh ke lapan kubur. Memandangkan tak tahu apa objek berkenaan, saya muat naik video sempat dirakam ketika penemuan di TikTok bagi mendapat kepastian.
"Melihat ruangan komen, ada yang mengatakan ia buhul sihir dan jujurnya saya baru pertama kali dengar mengenainya.
"Ada juga ustaz kata ia (objek ditemui) digunakan untuk tujuan pemujaan, bukannya sihir tapi saya tak tahu sejauh mana kebenarannya kerana tak berani nak buka.
"Ada juga komen kecam persoalkan kenapa tak pakai sarung tangan waktu alihkan tapi itulah, niat asal nak ziarah kubur dan bersihkan kawasan itu saja.
"Buat masa ini, kami sekeluarga serahkan kepada pak cik untuk uruskan dan ambil tindakan lanjut kerana dia tinggal di sana," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan