"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

19 mangsa kerugian RM1.84 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan mesin minuman

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bersama mangsa yang ditipu serta laporan polis pada sidang media di Pejabat Aduan MHO, Kuala Lumpur, hari ini. NSTP/Hazreen Mohamad
Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bersama mangsa yang ditipu serta laporan polis pada sidang media di Pejabat Aduan MHO, Kuala Lumpur, hari ini. NSTP/Hazreen Mohamad
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 19 mangsa kerugian RM1.84 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan mesin minuman yang ditawarkan sebuah syarikat kononnya bekerjasama dengan sebuah yayasan terkenal.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, berkata syarikat itu menyasarkan mereka yang kurang berkemampuan dan ingin menambah pendapatan sebagai mangsa.

Katanya, modus operandi pelaburan syarikat terbabit adalah dengan menawarkan mangsa satu pulangan dividen yang lumayan dan beberapa manfaat menarik lain.

"Kami syak janji yang diberikan syarikat terbabit adalah tidak benar dan tidak wujud kerana mangsa tidak pernah menerima sebarang dividen atau pulangan seperti dijanjikan.

"Mangsa juga tidak pernah dikemukakan sebarang bukti bahawa mesin minuman air layan diri terbabit memang benar-benar wujud atau tidak," katanya pada sidang media, hari ini.

Hishamuddin berkata, ini kerana segala maklumat yang diberikan kepada pengadu adalah dari ejen pemasaran syarikat itu sendiri.

Beliau berkata, terdapat kemungkinan bahawa dokumen yang dikemukakan ketika pemasaran skim pelaburan itu berlaku juga tidak wujud.

Berdasarkan keterangan mangsa, katanya, kebanyakan mereka berminat untuk menyertai skim pelaburan itu kerana ingin membuat pendapatan pasif di samping pekerjaan seharian utama mereka.

"Ejen pemasaran yang dilantik untuk memasarkan skim pelaburan ini akan menerima komisyen daripada syarikat terbabit apabila mereka berjaya menarik pelanggan.

"Bagaimanapun, daripada maklumat yang kami terima, ejen pemasaran terbabit dikatakan telah ditipu oleh pihak syarikat untuk memasarkan skim pelaburan mesin minuman air layan diri ini," katanya.

Beliau berkata, permasalahan timbul apabila pengadu tidak menerima sebarang pembayaran pulangan atau keuntungan seperti dijanjikan syarikat terbabit.

"Mangsa kemudian berhubung dengan ejen pemasaran wakil syarikat, namun tiada jawapan positif yang diberikan," katanya.

Tiada ulasan: