Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my
Balik Pulau: Polis mengesahkan menerima laporan daripada wanita yang mendakwa anak lelakinya menjadi mangsa sindiket penipuan kerja dan kini dijadikan tebusan bagi mendapatkan wang.
Ia susulan dakwaan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berikutan lelaki berkenaan dipercayai ditahan dan dikurung oleh sindiket penipuan di Thailand dan Kemboja.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, terdahulu pihaknya mengesan siaran media berkenaan pada Selasa lalu.
"Laporan yang dibuat wanita berkenaan disiasat mengikut Seksyen 347 Kanun Keseksaan dan 384 kanun sama. Polis masih mengumpul maklumat bagi melengkapkan siasatan yang dijalankan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut Sazalee berkata, hasil siasatan mendapati mangsa tidak pernah ke luar negara sejak 21 Oktober 2019.
Katanya, kali terakhir mangsa didapati berkunjung ke China pada 13 Oktober dan pulang ke Malaysia pada 21 Oktober tahun sama.
"Pihak polis akan jalankan siasatan menerusi pelbagai sudut. Kita juga menyeru kepada semua wakil pertubuhan dan masyarakat supaya tidak buat spekulasi atau sidang media tanpa merujuk kepada polis serta agensi berkaitan," katanya lagi.
Terdahulu pada sidang media itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan membabitkan lelaki dari Pulau Pinang yang dipercayai diculik sindiket terbabit sejak pertengahan bulan lalu.
Katanya, berdasarkan maklumat diperoleh, sindiket itu bertindak mengugut keluarga mangsa dengan ancaman bagi mencederakan anak mereka sekiranya wang tebusan tidak dibayar seperti yang diminta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan