"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peluru terkena komputer riba selamatkan nyawa ahli perniagaan

Agensi
SALAH satu peluru yang dilepaskan oleh lelaki bersenjata itu terkena komputer riba milik ahli perniagaan itu. FOTO QQ.com
SALAH satu peluru yang dilepaskan oleh lelaki bersenjata itu terkena komputer riba milik ahli perniagaan itu. FOTO QQ.com
Sao Paulo, Brazil: Seorang ahli perniagaan China terselamat dalam satu kejadian samun bersenjata api di Brazil dan hanya menemukan sebutir peluru terbenam pada komputer ribanya beberapa jam kemudian di lapangan terbang.

Memetik laporan South China Morning Post, kejadian berlaku pada 1 Oktober lalu ketika mangsa yang dikenali sebagai Liu sedang menunggu teksi di sebuah stesen minyak kira-kira 100 meter dari hotel lima bintangnya di Sao Paulo.

Semasa sedang berbual di telefon, sebuah kereta hitam berhenti secara tiba-tiba sebelum seorang lelaki bertopeng meluru ke arahnya sambil mengacukan pistol.

Liu berkata, reaksi pertamanya adalah untuk melarikan diri sambil sempat mencapai begnya yang berisi pasport, dompet dan komputer riba kerjanya.

Ketika sedang melarikan diri, Liu menoleh ke belakang dan melihat penyerang itu melepaskan dua das tembakan terus ke arahnya.

Oleh sebab tidak berasa sakit, Liu pada mulanya menyangka penyerang itu hanya menggunakan pistol palsu untuk menakut-nakutkannya.

Bagaimanapun, kebenaran hanya terbongkar beberapa jam kemudian semasa beliau melalui pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang dan mendapati sebutir peluru terbenam pada komputer ribanya.

Ketika itulah dia sedar komputer riba bersama pemegang telefon besi yang terlekat padanya bertindak sebagai perisai dan menyelamatkannya daripada kecederaan parah atau maut.

Dalam kejadian itu, perompak berjaya melarikan beg pakaian Liu yang berisi iPad, pemacu keras dan hadiah untuk anak perempuannya.

Menurut Liu, polis memaklumkan bahawa kejadian samun bersenjata api bukanlah sesuatu yang luar biasa di Brazil dan peluang untuk mendapatkan semula barangannya yang hilang adalah tipis.

Selepas berkongsi pengalaman itu dalam talian, Liu menasihatkan pelancong lain supaya lebih berhati-hati dan menyerahkan sahaja barangan berharga jika berdepan perompak bersenjata.

Kisah itu tular dan menarik perhatian netizen, dengan ada yang berseloroh menyatakan Liu patut "memuja komputer riba itu" kerana menyelamatkan nyawanya.

Tiada ulasan: