Faisal Asyraf
KUALA LUMPUR: Seorang penjual daging mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang hari ini kerana cuai hingga menyebabkan kematian abang iparnya ketika memburu di Gombak, Selangor, bulan lalu.
Zaid Zakaria, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sabreena Bakar @ Bahari.
Kakaknya, yang juga isteri mangsa, turut hadir di galeri awam bersama isteri dan beberapa ahli keluarga lain.
Zaid, bapa kepada empat anak, didakwa kerana cuai hingga menyebabkan kematian Nor Azuar Juyob, 43, di kawasan hutan Taman Pinggiran Batu Caves pada kira-kira 8 malam, 28 Sept lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan Zaid melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Dis.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Iqbal Azman manakala tertuduh diwakili peguam Sukhdev Singh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan