"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PU Rahmat: ‘Tentera Israel benci pasport Malaysia’

Fatin Hanani Sahimi, Fareez Azman

KUALA LUMPUR: Pendakwah Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan atau PU Rahmat berkongsi pengalaman ketika ditahan oleh tentera Israel yang meluahkan kebencian apabila melihat pasport Malaysia.

Beliau berkongsi perkara berkenaan ketika menceritakan pengalamannya pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam ini.

“Perkataan cacian akan keluar jika mereka nampak pasport Malaysia.

“Bila mereka minta pasport, saya cuba sorok kerana tidak mahu menyulitkan keadaan. Tetapi apabila mereka melihat pasport Malaysia, saya dengar mereka mengeluarkan kata-kata kesat terhadap negara kita. Mereka marah terhadap pasport kita , bagi saya itu satu kemenangan,” katanya.

Dalam pada itu, sukarelawan, Farah Lee, turut berkongsi pengalaman ditahan bersama beberapa aktivis lain.

“Saya tidak tahu dari mana datangnya keberanian untuk menatap setiap mata askar Israel. Kami membuat protes (ketika dalam tahanan) kerana tidak diberikan air selama empat hari. Kami bertegas kami tidak akan masuk sel melainkan diberi air,” kongsinya.

Farah menceritakan protes yang berlanjutan antara setengah jam hingga sejam sehingga tentera memberitahu mereka akan menggunakan kekerasan jika tidak kembali ke sel secara sukarela.

“Saya berjuang untuk rakan-rakan saya demi hak manusia kami hanya menuntut air bersih, kami tidak melakukan kesalahan.

“Walaupun dipaksa balik ke sel, saya masih berani, menatap mata-mata mereka. Meskipun mereka bersenjata, dalam pandangan mereka ada ketakutan kerana mereka tahu mereka bersalah,” tambahnya.

Sebelum ini, kapal dinaiki 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai konvoi kemanusiaan ke Gaza, Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas tentera Israel sebelum dibawa ke penjara Penjara Ktzi’ot di Negev.

Mereka termasuk Heliza Helmi, Nur Hazwani Afiqah, Farah Lee, Zizi Kirana, Danish Nazran Murad, dan Ardell Aryana.

Turut ditahan ialah PU Rahmat, Musa Nuwayri, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Iylia Balqis, Sul Aidil, Zulfadhli Khiruddin, Rusydi Ramli, Razali Awang, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak, Zainal Rashid, Ustaz Muhammad Abdullah, Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs), Muhd Haikal Luqman Zulkefli, dan Taufiq Mohd Razif.

Tiada ulasan: