Nor Fazlina Abdul Rahim

Lapan individu termasuk tiga beranak dan seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan mengurung tiga lelaki dan bersubahat di Pasir Puteh. – Foto NSTP
KOTA BHARU: Lapan individu termasuk tiga beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan bersubahat dan mengurung tiga lelaki di Pasir Puteh pada 25 September lalu.
Norhazri Muhammad Nor, 45; Hazafee Mohamed, 37; Mohd Hasrun Mohd Yusof, 37; Mohd Fairuz Mahasan, 41; Muhammad Danish Syahmi Norhazri, 22; Muhammad Darwish Syahmi Norhazri, 20; Muhammad Najmuddin Ahmad Zamri, 21; dan Marliziana Mohd Ramli, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid.
Tertuduh pertama sehingga ketujuh didakwa secara bersama mengurung tiga lelaki berusia 23 hingga 30 tahun dengan niat untuk memeras harta di sebuah rumah di Jalan Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh, pada 4 pagi, 25 September lalu.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 347 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Manakala, Marliziana pula didakwa secara berasingan atas pertuduhan bersubahat mengurung mangsa yang sama dengan menyimpan rahsia berkenaan pada 25 September lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 347 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad dan kesemua tertuduh diwakili peguam, Mohd Azrul Hasyimi Mohammad.
Tertuduh pertama hingga keempat tidak dibenar diikat jamin, manakala tertuduh kelima hingga ketujuh dibenar ikat jamin RM5,000 seorang, sementara jaminan buat Marliziana pula ditetapkan RM4,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 November.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, empat tertuduh iaitu Norhazri, Hazafee, Mohd Hasrun dan Mohd Fairuz turut didakwa melakukan rompakan dan menunjukkan senjata api di Gong Kulim, Pasir Puteh, 25 September lalu.
Mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Keempat-empatnya didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan selepas dituduh berniat melakukan melakukan rompakan dan menunjukkan senjata api jenis pistol Revolver .38 sehingga mendatangkan ketakutan kepada tiga individu di bawah jambatan Gong Kulim, Pasir Puteh pada 4.35 petang, 25 September lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan dan tertuduh diwakili peguam, Mohd Azrul Hasyimi.
Kesemua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan 9 November depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan