"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keadaan di Tebing Barat bertambah buruk, pendatang haram Israel cetus keganasan

Bernama-Anadolu
Seorang lelaki melihat kerosakan yang berpunca daripada serangan pendatang haram Israel di Amuria, berhampiran Nablus, Tebing Barat. - FOTO AFP
Seorang lelaki melihat kerosakan yang berpunca daripada serangan pendatang haram Israel di Amuria, berhampiran Nablus, Tebing Barat. - FOTO AFP
Washington: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat memberi amaran keadaan bertambah buruk di Tebing Barat yang dijajah, melaporkan lonjakan keganasan mengakibatkan orang awam Palestin menghadapi peningkatan korban jiwa, kehilangan tempat tinggal dan rasa tidak selamat, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Beralih kepada Tebing Barat, rakan sejawat kemanusiaan kami memberi amaran bahawa tahap keganasan sana kekal amat membimbangkan, membawa kepada korban jiwa, kerosakan harta benda, kehilangan tempat tinggal, kehilangan mata pencarian serta rasa tidak selamat yang kuat bagi orang awam Palestin," kata jurucakap PBB Stephane Dujarric kepada wartawan.

Minggu ini, Dujarric berkata jumlah kanak-kanak Palestin terbunuh pada 2025 mencecah 50 orang.

"Secara keseluruhan, lebih 200 warga Palestin kini dibunuh pasukan Israel sejak awal tahun ini," katanya.

Hanya dalam seminggu, Dujarric berkata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) mendokumenkan 29 serangan dilakukan pendatang haram Israel yang mencederakan 11 orang dan merosakkan 10 rumah, dua masjid, puluhan kenderaan, dan pelbagai aset pertanian.

"Kami terus menyeru perlindungan orang awam – termasuk menguatkuasakan undang-undang kepada sesiapa saja melakukan serangan – dan agar kekerasan digunakan pasukan keselamatan hanya mengikut piawaian penguatkuasaan undang-undang diiktiraf antarabangsa.

"Taktik ala perang tidak boleh diterima sebagai norma baharu (di Tebing Barat)," katanya.

Ketika ditanya rancangan Israel merampas sebahagian besar tapak bersejarah utama di Tebing Barat, Sebastia, Dujarric berkata PBB telah melihat laporan akhbar mengenai hasrat itu.

"Saya fikir kami sangat jelas menentang rampasan tanah sebegini," katanya.

Tentera Israel telah meningkatkan serangan di Tebing Barat sejak meletus perang di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023.

Lebih 1,076 warga Palestin dibunuh sejak itu, dan 10,700 cedera dalam serangan dilakukan tentera serta pendatang haram di wilayah yang dijajah. Lebih 20,500 orang turut ditahan.

Dalam pendapat penting Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengisytiharkan penjajahan wilayah Palestin oleh Israel adalah tidak sah dan menyeru pengosongan semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.

Tiada ulasan: