Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my

MUHAMMAD Nur Aiman (baju merah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol teman wanita berusia 15 tahun, pada 2022. FOTO Ahmad Hasbi
Seremban: Buruh binaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol kanak-kanak berusia 15 tahun, pada 2022.
Tertuduh, Muhammad Nur Aiman Mohd Khairi, 22, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan merogol seorang kanak-kanak berusia 15 tahun lapan bulan ketika kejadian di sebuah hotel di daerah ini kira-kira jam 3 petang pada pertengahan April 2022.
Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan, boleh dipenjara sehingga tempoh 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan tiga syarat tambahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan memandangkan hanya bekerja sebagai buruh binaan dengan pendapatan tidak menentu.
Mahkamah juga bertanyakan mengenai kes berkenaan mengambil masa lama untuk dituduh sebelum Norazihah memaklumkan terdapat arahan supaya mendapatkan laporan kimia terlebih dahulu.
Norazihah memaklumkan bahawa laporan kimia berkenaan positif dan mangsa sudah melahirkan anak tertuduh yang kini sudah berusia kira-kira dua tahun.
Pihak pendakwaan turut memberitahu mahkamah, tertuduh sebelum ini sukar dikesan dan tidak hadir ketika dipanggil menyebabkan proses pertuduhan mengambil masa.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 berserta syarat tidak mengganggu saksi, melapor diri setiap bulan di balai polis terdekat sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport antarabangsa sekiranya ada.
Sebutan semula ditetapkan pada 23 Disember.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan