FMT Reporters
PETALING JAYA: Guru agama sekolah menengah di Senawang dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuan 13 tahun di surau sekolah, pada 2022.
Hakim Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap Farid Azhar Nawi, 47, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.
Hakim berkata, keterangan tertuduh merupakan satu penafian kosong yang gagal menimbulkan keraguan pada kes pendakwaan.
“Keterangan mangsa konsisten dan tidak bersifat rekaan semata-mata serta disokong dua saksi mata yang turut nampak kejadian itu. Dakwaan tertuduh terdapat satu pakatan atau cubaan mengenakannya oleh pihak sekolah adalah bersifat andaian yang gagal dibuktikan,” katanya menurut Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal dengan cara menyentuh bagi maksud seksual pinggang seorang kanak-kanak perempuan 13 tahun ketika kejadian, yang mana tertuduh mempunyai hubungan amanah sebagai guru.
Kesalahan itu dilakukan pada 4 Ogos 2022 lebih kurang 5.30 petang di surau sebuah sekolah menengah di Senawang, Seremban.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(c) akta sama.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta penjara lima tahun dan dua sebatan.
Terdahulu peguam, Nor Azleen Khairina A Aziz memaklumkan kepada mahkamah yang tertuduh berhasrat memfailkan rayuan terhadap sabitan.
Katanya, tertuduh juga merupakan pesalah kali pertama dan tiada sebarang rekod lampau serta mempunyai dua isteri dan lima anak yang tiga daripadanya sedang menuntut di universiti.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak.
Nor Azleen Khairina kemudian memohon budi bicara mahkamah untuk menangguhkan hukuman dikenakan terhadap tertuduh, sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan mengambil kira tertuduh merupakan penjawat awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan