Malaysiakini
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli menyambut baik hasrat kerajaan untuk merunding kembali terma Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) seperti didedahkan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam siaran podcast Keluar Sekejap.
Rafizi berkata, ia selari dengan apa yang dibangkitkannya bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Subang Wong Chen sebelum ini sehingga menerima kecaman.
"Baru-baru ini, Menteri MITI Senator Tengku Zafrul yang bertanggungjawab merundingkan perjanjian ini, mengakui dalam podcast Keluar Sekejap, yang kerajaan sedang berusaha untuk merundingkan kembali perjanjian itu.
"Ini termasuk klausa yang kontroversi seperti klausa 5.1 berbanding klausa sama dengan Cambodia yang secara jelas melindungi kedaulatan negara itu.
"Saya berlapang dada kerana beberapa perkara yang diulas Tengku Zafrul tidak jauh dari saranan-saranan yang pernah kami buat.
"Ini termasuk persoalan kenapa perlu tergesa-gesa untuk menandatangani, yang diakui oleh Zafrul sebagai satu keputusan politik yang ada risiko tersendiri," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Pada 13 Nov lalu, tiga ahli parlimen kerajaan itu menggariskan beberapa cadangan untuk mengimbangi ART yang ditandatagani negara ini dengan AS dan dianggap mereka sebagai “berat sebelah”.
Bercakap pada sidang media di parlimen, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, membacakan kenyataan yang turut disokong oleh Rafizi dan Nik Nazmi.
Mereka berpendapat walaupun ART boleh memberikan beberapa impak positif – terutamanya dalam hal berkaitan perdagangan digital, semikonduktor dan farmaseutikal – ia tetap dibimbang tidak dimeterai mengikut proses yang sewajarnya.
"Kami yakin, berdasarkan respons rasmi dan teks yang kurang jelas, pemeteraian perjanjian itu dilakukan tanpa analisis kos-faedah yang komprehensif dan perundingan awam yang mencukupi," kata mereka.
Sementara itu, Rafizi berkata pengakuan Zafrul bahawa kerajaan sedang berusaha untuk merundingkan kembali beberapa perkara mengesahkan bahawa kebimbangan mereka sebelum ini ada asas.
"Saya sekarang tunggu apa reaksi cybertroopers kerajaan yang selama beberapa minggu mengecam dan memaki hamun kami, di mana mereka apabila Zafrul sendiri mengesahkan perkara-perkara yang kami utarakan?
"Ini masalahnya apabila komunikasi dan silat politik PKR di-subkontrak kepada watak-watak yang hanya menyertai PKR selepas PKR menang. Sebahagian mereka sebelum ini dengan Pejuang, PAS dan Bersatu. Jadi mereka tidak pernah hadam budaya dalam PKR yang mana kesetiaan ahli parlimen adalah kepada rakyat.
"Jika ada perkara yang membawa risiko kepada rakyat, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk bersuara, hatta menegur Perdana Menteri sendiri, tidak kira parti Perdana Menteri itu," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan