Suharmin Yusuf

Sebahagian warga asing yang ditahan dalam operasi oleh Jabatan Imigresen di sekitar Kampung Raja, Cameron Highlands. Foto NSTP
CAMERON HIGHLANDS: Penduduk tempatan, di sini melahirkan kebimbangan sejak sekian lama berhubung kehadiran ‘koloni’ warga asing di beberapa kawasan yang didakwa menjejaskan kehidupan seharian dan perniagaan mereka.
Penduduk setempat Kohr Thiam Bee, 60, yang juga peniaga sayur berkata, fenomena itu semakin ketara dalam beberapa tahun kebelakangan.
"Kehadiran mereka memang menimbulkan sedikit gangguan. Kita sebagai penduduk tempatan kadang-kadang terasa terjejas.
"Warga asing ini sering menetap di kawasan strategik, menjadikan penduduk tempatan bimbang mengenai penguasaan ruang dan peluang ekonomi," katanya kepada Harian Metro.
Dakwanya, koloni warga asing sudah berada di daerah ini sejak beberapa tahun lalu dan keadaan itu menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan mereka.
Menurutnya, warga asing yang jelas memonopoli adalah warga Bangladesh dan Myanmar.
"Walaupun tiada insiden serius berlaku, kehadiran warga asing mencetuskan rasa was-was dalam komuniti kami," katanya.
Kohr berkata, penduduk tempatan risau dengan pengaruh warga asing terhadap aktiviti harian dan potensi monopoli dalam beberapa sektor perniagaan dan pertanian.
"Hari-hari kita boleh nampak mereka di kawasan ini… memang ada yang datang untuk berniaga, ada yang bekerja, ada juga yang sudah menetap lama," katanya.
Kohr mendakwa, ada antara peniaga tempatan yang menyewakan lesen untuk golongan pendatang melakukan urus niaga.
"Kita faham mereka ada keperluan…tapi penduduk tempatan juga perlu peluang untuk berniaga dan menjalani kehidupan dengan selesa," katanya.
Mewakili penduduk setempat, Kohr meminta pihak berkuasa terus memantau kehadiran koloni warga asing supaya ketenteraman dan kelangsungan perniagaan tempatan terjamin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan