"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jakarta kian tenggelam: Garis pantai di utara semakin jelas di bawah paras laut

Agensi
(FOTO FAIL) PENDUDUK berjalan di atas benteng tembok laut di Jakarta Utara pada 6 Jun 2020. FOTO Aditya Irawan / NurPhoto melalui AFP
(FOTO FAIL) PENDUDUK berjalan di atas benteng tembok laut di Jakarta Utara pada 6 Jun 2020. FOTO Aditya Irawan / NurPhoto melalui AFP
Jakarta: Garis pantai Jakarta kini semakin jelas tenggelam di bawah paras laut dengan air laut di Pantai Mutiara, Jakarta Utara, berada lebih tinggi berbanding paras daratan sekitarnya, lapor Jakarta Globe Id.

Pemerhatian di lapangan pada Isnin menunjukkan paras air laut di Pantai Mutiara melebihi ketinggian tanah berhampiran.

Keadaan itu hanya ditahan oleh benteng pantai dan tanpa penghalang fizikal ini, air laut akan mengalir jauh ke pedalaman.

Saintis memberi amaran bahawa situasi semakin membimbangkan walaupun benteng sedia ada dibina.

Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (BRIN) menyatakan beberapa bahagian di Jakarta kini tenggelam antara 10 hingga 30 sentimeter (sm) setiap tahun.

Kadar penurunan ini adalah antara yang terpantas di mana-mana bandar raya utama di dunia.

Keadaan serius itu didorong oleh gabungan faktor pemadatan tanah semula jadi dan penggunaan air bawah tanah secara berlebihan selama berdekad-dekad oleh isi rumah, perniagaan, dan industri.

Seorang penyelidik kanan di Pusat Penyelidikan Oseanografi BRIN, Johan Risandi berkata, paras air yang lebih tinggi di sepanjang pantai mencerminkan gabungan impak air pasang ekstrem, angin bermusim, ombak tinggi dan yang paling kritikal, penurunan tanah yang pantas.

"Lonjakan air pasang boleh berlaku dua kali sebulan dan angin kencang menambahkan lebih banyak air," kata Johan.

"Namun, faktor utamanya ialah penurunan tanah. Di beberapa kawasan, tanah tenggelam sehingga 30 sm setahun," katanya.

Beliau menjelaskan tanah aluvium Jakarta yang lembut secara semula jadi memadat dari semasa ke semasa. Namun, pengekstrakan air bawah tanah yang berlebihan yang masih diamalkan secara meluas kerana perkhidmatan air paip yang tidak mencukupi, mempercepatkan kadar penurunan itu.

Untuk mengelakkan air laut melimpah ke kawasan kediaman, Johan menggesa supaya benteng pantai perlu terus ditinggikan secara rutin bagi menandingi kenaikan paras laut dan penurunan tanah.

Beliau turut mencadangkan peraturan yang lebih ketat bagi mengehadkan penggunaan air bawah tanah selain penyelesaian berasaskan alam semula jadi seperti pemuliharaan bakau untuk membantu memecahkan ombak sebelum ia sampai ke pantai.

Bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama (Ahok) sebelum ini pernah memberi amaran bahawa jika benteng pantai di Pantai Mutiara gagal berfungsi semasa air pasang, banjir boleh melanda jauh ke pedalaman, malah mencecah Monumen Nasional (Monas) di Jakarta Pusat.

Tiada ulasan: