Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akhirnya membuka satu lagi lembaran penting dalam skandal pemain warisan Malaysia apabila mendedahkan nama dua ejen yang dikaitkan secara langsung dengan proses pemalsuan dokumen tujuh pemain terbabit.
Dokumen setebal 63 muka surat yang dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan FIFA itu menyenaraikan Nicolas Puppo dan Frederico Moraes sebagai individu yang terbabit dalam proses menyediakan dokumen kelayakan yang kemudian didapati palsu.
Pendedahan itu turut menjadi sebahagian daripada cadangan rasmi panel rayuan supaya FAM melaksanakan siasatan dalaman bagi mengenal pasti pihak yang terbabit sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
FIFA menegaskan pendedahan nama dua ejen itu bukan satu tuduhan, sebaliknya satu keperluan untuk proses siasatan susulan yang perlu dijalankan oleh badan induk bola sepak dunia itu sendiri.
Lebih menarik perhatian, Jawatankuasa Rayuan FIFA turut mencadangkan Sekretariat FIFA menjalankan siasatan ke atas Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, bersama dua ejen berkenaan.
Menurut dokumen itu, pembabitan tiga individu itu memerlukan penelitian lebih mendalam kerana mereka berada dalam rantaian proses yang membawa kepada wujudnya dokumen kelayakan palsu untuk tujuh pemain.
Jawatankuasa Rayuan FIFA menyatakan siasatan tambahan amat penting bagi memastikan semua individu terbabit dapat dikenal pasti dan tidak ada pihak yang terlepas daripada proses undang undang sukan.
Sebelum ini, FIFA menolak rayuan FAM dan tujuh pemain negara berhubung hukuman yang dikenakan, sekali gus mengesahkan dapatan asal Jawatankuasa Disiplin bahawa dokumen yang digunakan untuk naturalisasi adalah palsu.
Keputusan itu menyaksikan FAM dikenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta), manakala tujuh pemain terbabit digantung 12 bulan serta dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) setiap seorang.
FIFA menegaskan hukuman berkenaan kekal kerana integriti pertandingan antarabangsa sudah tercemar akibat penggunaan dokumen tidak sah dalam proses pendaftaran pemain.
Pada masa sama, FAM sebelum ini memaklumkan badan itu sedang mengambil beberapa langkah dalaman termasuk penggantungan sementara setiausaha agung serta pembentukan jawatankuasa bebas untuk meneliti isu terbabit.
Susulan keputusan terbaru FIFA, FAM kini dalam proses membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebagai usaha terakhir untuk mencabar hukuman berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan