"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bunuh jurujual wanita di Seri Kembangan, 2 lelaki didakwa

Hafiz Ithnin

Dua tertuduh lelaki yang didakwa terbabit dalam pembunuhan seorang jurujual wanita di Blue Water Estate, Seri Kembangan pada 29 Oktober lalu, dibawa ke mahkamah Majistret Petaling Jaya. Foto NSTP
PETALING JAYA: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang wanita di Blue Water Estate, Seri Kembangan di Selangor pada Oktober lalu.

Tertuduh K. Kaarthiek, 26, dan A. Hariprasanth, 23 masing-masing bekerja sebagai pekerja teknologi maklumat dan pemandu lori didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Saraswathy Chan Chee Keong, 24.

Kedua-dua tertuduh yang hadir di mahkamah pada jam 9 pagi dengan berbaju putih, diiringi pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Dalam prosiding itu, kedua-dua tertuduh mengangguk faham terhadap tuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Shahril Anuar Ahmad Mustapha yang menetapkan sebutan semula kes pada 16 Januari depan.

Namun, tiada pengakuan yang direkodkan daripada dua tertuduh, berikutan kesalahan membunuh di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak lebih 12 sebatan, jika tidak dihukum gantung.

Polis sebelum ini menahan lima individu, termasuk bekas teman lelaki mangsa, abang angkatnya serta rakan serumah wanita bagi membantu siasatan.

Mangsa bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Ampang dan kedai serbaneka di Bukit Bintang, ditemui orang awam pada jam 3.45 petang, 29 Oktober lalu.

Tiada ulasan: