"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapa setiausaha politik PM terima teguran keras Anwar?

Malaysiakini 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam memberitahu Dewan Rakyat bahawa dia telah memberi teguran keras kepada salah seorang daripada tiga setiausaha politiknya kerana menulis surat sokongan untuk enam kontraktor dalam projek pembinaan sebuah hospital tahun lalu.

Bagaimanapun, Anwar ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, tidak menyatakan siapakah setiausaha politik yang menerima teguran itu.

Malaysiakini mendapati sepucuk surat yang didakwa ditandatangani salah seorang setiausaha politik perdana menteri itu kini tular di media sosial.

Namun Malaysiakini tidak dapat mendedahkan nama setiausaha politik tersebut sehingga mendapat komen daripadanya.

Surat bertarikh 6 Mei 2024 itu ditujukan kepada seorang pembantu Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, dan memintanya mempertimbangkan enam kontraktor dalam projek hospital Muar.

Surat itu mula tular di media sosial tahun lalu sebelum disahkan sendiri oleh Dzulkefly di Parlimen.

Semasa sesi dewan khas pada 9 Julai tahun lalu, Menteri Kesihatan itu menegaskan bahawa surat tersebut tidak menyebut sebarang perintah atau kelulusan bagi enam syarikat itu dilantik untuk projek tersebut, sebaliknya hanya untuk pertimbangan.

“Ini menunjukkan bahawa Pejabat Perdana Menteri (PMO) tidak campur tangan dalam perolehan projek Kementerian Kesihatan dan kementerian lain,” kata Dzulkefly.

Menurutnya oleh kerana permintaan itu adalah untuk pembinaan hospital baru, Kementerian Kesihatan tidak mempertimbangkan atau meluluskan permohonan oleh kontraktor yang disebut dalam surat setiausaha politik itu.

Isu itu muncul semula semalam apabila Ahmad Fadhli membangkitkan surat berkenaan ketika mempersoalkan janji Anwar dalam memerangi rasuah.

"Kenapa ketika setpol yang berhormat sendiri mengeluarkan surat sokongan terhadap projek hospital tahun 2024, menyenaraikan kontraktor untuk KKM, enam kontraktor disenaraikan oleh setpol yang berhormat perdana menteri sendiri.

"Dari enam ini hanya dua sahaja yang layak, yang lain tidak ada rekod CIDB, dikenakan tindakan tatatertib, dan rakyat tidak melihat tindakan dari yang berhormat perdana menteri,” katanya.

Anwar dalam jawapannya mengakui salah seorang setiausaha politiknya telah menghantar surat itu.

"Dia membuat (surattersebut) dan saya telah memberi teguran keras kerana peraturan kita tidak membolehkan.

"Kalau ada surat dari saya, maksima, sila teliti. Standard, mana-mana saya pergi. Di Sabah, berpuluh-puluh surat, ada yang kontrak, kita kata ‘sila teliti’. Tetapi tidak boleh buat satu sokongan.

"Itu saya sokong dengan YB (Pasir Mas),” kata Anwar ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).

Tiada ulasan: